Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan sedang runding pertikaian tanah tujuh dekad - Peguam kanan persekutuan
Diterbitkan:  Oct 24, 2023 5:35 PM
Dikemaskini: 9:35 AM

Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini diberitahu bahawa kerajaan kini sedang berunding untuk penyelesaian berhubung pertikaian sebuah tanah seluas 263.272 ekar (106.542 hektar) di Jalan Duta, Kuala Lumpur melibatkan Semantan Estate (1952) Sdn Bhd.

Tanah itu antara lain termasuklah Kompleks Lembaga Hasil Dalam Negeri, beberapa bangunan kerajaan, Stadium Hoki Nasional, Institut Kefahaman Islam Malaysia dan Masjid Wilayah Persekutuan.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan memberitahu panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Lee Swee Heng bahawa, kerajaan memohon untuk menangguhkan prosiding hari ini berikutan rundingan antara pihak terbabit.

Shamsul berkata pihaknya menerima surat daripada peguam Semantan Estate semalam, yang memohon penanguhan dan beliau memohon maaf kepada mahkamah berhubung perkara itu.

“Mereka (Semantan) menulis surat kepada kami kerana mereka mahu memudahkan rundingan. Jadi Kerajaan akan memutuskan berkaitan kuantum.

“Terdapat beberapa perkembangan berikutan pertukaran kerajaan dan menteri. Itu meletakkan kami dalam situasi sukar. Tetapi kami serius dalam menyelesaikan kes ini.

"Kuantum telah dipersetujui tetapi tidak dapat mencapai kesepakatan mengenai cara pembayaran,” katanya dan menambah perkara itu perlu dibawa ke Kabinet, sebelum sebarang penyelesaian boleh dimuktamadkan.

Shamsul juga memohon penangguhan selama tiga bulan.

Peguam Datuk Dr Cyrus Das yang mewakili Semantan Estate memberitahu mahkamah bahawa pihak terbabit sedang dalam perbincangan dan rundingan, sementara seorang lagi peguam Semantan Estate Ira Biswas berkata mereka tidak menerima sebarang arahan, sama ada jumlah itu telah dipersetujui oleh pihak terbabit.

Hakim Lee kemudiannya membenarkan penangguhan prosiding selama tiga bulan.

“Kami (mahkamah) mengambil maklum mengenai masalah dihadapi yang diwarisi daripada generasi sebelum ini. Namun perkara ini perlu diselesaikan oleh Mahkamah, jika pihak terbabit gagal menyelesaikannya menerusi rundingan.

“Malangnya, selain memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak berkaitan sedang berunding, peguam yang hadir hari ini tidak mengetahui rundingan berada di peringkat mana.

“Berkenaan penyelesaian sementara, walaupun mahkamah menggalakkan pihak terbabit untuk menyelesaikan pertikaian itu secara baik, terdapat juga garis masa untuk menyelesaikan kes-kes di hadapan kami, terutamanya dalam kes ini, pertikaian yang boleh dikesan sejak kira-kira tujuh dekad, malah sebelum Merdeka lagi.

“Mengandaikan ketulusan pihak berkaitan untuk penyelesaian, mahkamah ini tidak mahu menjadi penghalang kepada penyelesaian global kepada suatu yang jelasnya merupakan pertikaian yang berbelit, yang tidak akan selesai kecuali ditangani dengan betul.

“Mengambil kira kesemua faktor ini, mahkamah membenarkan penangguhan terakhir untuk tiga bulan dan tiada penangguhan akan dibenarkan lagi selepas ini. Dan kes ini akan diteruskan untuk pendengaran seterusnya, jika tiada penyelesaian yang muktamad,” kata Hakim Lee.

Ahli panel yang turut bersidang ialah Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Hakim Datuk Azizul Azmi Adnan.

Semantan Estate mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada Oktober 2021 yang menolak permohonan semakan kehakiman oleh Semantan Estate untuk mendapatkan semula tanah seluas 106.542 hektar di Kuala Lumpur.

Semantan Estate memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap beberapa responden termasuk kerajaan Malaysia, mendapatkan perintah mandamus, antara lain, mengarahkan responden untuk memindahkan hak milik tanah tersebut kepada syarikat (Semantan Estate).

Pada 2010, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa pengambilalihan tanah yang dimiliki Semantan Estate tidak dilaksanakan secara sah dan kerajaan tidak memperoleh tanah tersebut secara sah.

Semantan Estate diberikan award yang akan dinilai oleh Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Tinggi.

Kerajaan kemudian mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan tetapi rayuannya ditolak pada 18 Mei 2012.

Pada 21 Nov 2012, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan tersebut.

Mahkamah Persekutuan juga menolak permohonan semakan kerajaan pada 2018.

- Bernama

Lihat Komen
ADS