Kira-kira 30,000 rakyat Kedah menyokong kempen besar-besaran mengutip tandatangan membantah kadar kenaikan cukai tanah sehingga 9,900 peratus
Kira-kira 20 persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) menyokong kempen tersebut, dan tandatangan yang dikumpul itu akan diserahkan kepada Jabatan Perdana Menteri.
"Kami menerima sambutan hebat dari rakyat Kedah pelbagai kaum. Ia merentasi sempadan parti politik," kata David Lim, pengerusi jawatankuasa khasa menggesa semakan semula cukai pintu.
Antara persatuan yang menyokong kempen itu ialah Dewan Perniagaan Cina Kedah, Dewan Cina Pusat Perniagaan dan Perindustrian Kedah, Dewan Perniagaan Cina Kedah Selatan, Dewan Perniagaan India Kedah, Jawatankuasa Peguam Kedah, Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Kedah dan Perlis, Jawatankuasa Kesedaran Kanak-kanak dan Wanita Kedah serta Persatuan Sikh Kedah.
Turut menyokong ialah Persatuan Pembayar Cukai Kedah dan Perlis, Jawatankuasa Pemilik Kedai Simpang Kuala, Dewan Memorial Gandhi Sungai Petani, Persatuan Warga Emas Kedah, Persatuan India Kedah, Teras Keupayaan Melayu Kedah, Persatuan Kesedaran Masyarakat dan Persatuan Penduduk Luarbandar Kedah.
"Ribuan sukarelawan pelbagai bangsa telah pergi ke setiap ceruk negeri Kedah dari bandar ke kampung, dari kedai ke kedai, dari rumah ke rumah, kedai kopi, kedai nasi kandar, taman perumahan seta majlis kenduri untuk mengutip tandatangan," katanya.
Jawatankuasa itu menggesa kerajaan negeri supaya berhenti melaksanakan Semakan Cukai Tanah dan untuk sementara ini, mengutipnya pada kadar lama.
Mereka mahu kadar baru itu disemak pada kadar "yang munasabah".
Menteri Besar Kedah, Datuk Mahdzir Khalid sebelum ini mengumumkan kadar cukai tanah yang menurut kerajaan negeri, yang terendah di negara ini.
Kajian bebas dijalankan oleh jawatankuasa khas dari Dewan Perhimpunan Cina Kedah dan mendapati kenaikan adalah 100 hingga 9,900 peratus.
"Kedah yang sering dianggap sebuah negeri yang mundur, pula mengenakan kadar cukai tanah yang lebih tinggi daripada negeri-negeri maju yang lain seperti Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Perak," kata Lim.
Jawatankuasa itu mendakwa Semakan Cukai Pintu 2004/2005 itu melanggar Kanun Tanah Negara.
Rebat sementara
Lim mendakwa pihaknya tidak mendapat banyak bantuan daripada ahli Dewan Undangan (Adun) dan ahli Parlimen di negeri itu.
"Mac lalu, kami menganjurkan satu sesi dialog mengenai perkara tersebut tetapi hanya dua wakil rakyat yang hadir," kata Lim.
Pada bulan yang sama, kerajaan negeri berkata ia akan mengkaji perkara itu, dan menugaskan seorang ahli exco mengendalikannya.
Mei lalu, Mahdzir mengumumkan rebat sementara untuk tempoh tiga tahun bagi cukai tanah dan tarikh akhirnya dilanjutkan sehingga Ogos dan kemudiannya dilanjutkan lagi hingga Disember.
Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan tidak akan menyemak dan meminda Semakan Cukai Tanah.
Sejak pengumuman tersebut, jawatankuasa berkenaan telah mengadakan beberapa perjumpaan tetapi tidak membawa banyak hasil.
"Tiada berlaku konfrontasi dalam isu ini. Adalah pelik jika rakyat Kedah berkonfrontasi atau menentang keajaan pilihan mereka sendiri.
"Rakyat Kedah hanya mahu memberitahu Menteri Besar bahawa kerajaan membuat satu kesilapan yang serius dan melanggar undang-undang," katanya. Berita asal
