Seorang guru di sebuah sekolah mubaligh Kristian di Labuan dipindahkan ekoran pertikaian mengenai pemasangan salib di premis institusi pendidikan terbabit.
Bagaimanapun, guru tersebut mendakwa dia dimaklumkan bahawa perpindahan tersebut dibuat kerana pihak yang berkenaan mahu melakukan rombakan mengejut ke atas guru-guru kanan.
Avanus Sunduvan (bukan nama sebenar) yang merupakan saudara rapat kepada guru terbabit membuat satu hantaran di media sosial yang tular awal minggu ini untuk menjelaskan kejadian yang membawa kepada pertukaran guru berkenaan.
"Isu ini bermula dengan pertikaian mengenai peletakkan salib di kawasan sekolah misionari. Seorang paderi menyarankan kepada seorang guru agar salib diletakkan di kawasan sekolah dan ia disokong oleh ibu bapa yang menaja pembelian salib tersebut agar diletakkan di dewan dan di setiap pintu kelas.
"Selepas salib itu diletakkan, beberapa guru Muslim membantah dengan enggan menghadiri mesyuarat sekolah dan perhimpunan serta mendesak agar salib itu diturunkan," dakwa Avanus.
Dia memberitahu Malaysiakini, tapak sekolah adalah hak milik gereja Roman Katolik.
Ekoran bantahan tersebut, dakwa Avanus, guru terbabit menerima surat yang bertarikh pada 20 Okt yang menyatakan dia dipindahan ke sekolah lain berkuat kuasa 25 Okt.
Bagaimanapun dakwa Avanus selepas beberapa mesyuarat diadakan, dipersetujui guru terbabit boleh melapor diri pada tarikh yang lebih kemudian.
"Dapat dilihat di sini berlaku penyalahgunaan kuasa oleh pihak atasan yang sewenang-wenangnya memindahkan guru selepas dia lama berkhidmat serta menyumbang ke arah kecemerlangan pelajar sejak 2016," katanya.
Kata Avanus selepas hantarannya di media sosial menjadi tular, berlangsung dua pertemuan di antara guru berkenaan dengan pihak sekolah.
"Kemudian kami diberitahu, guru tersebut dipindahkan kerana rombakan penolong kanan," katanya.
Dia menjelaskan dalam pertemuan berkenaan mereka diberitahu tarikh guru terbabit melapor diri di tempat baru dilewatkan untuk mengelak wujudnya persepsi perpindahan tersebut berpunca daripada isu salib.
Tambah Avanus, pihak sekolah menyatakan salib-salib itu perlu diturunkan buat sementara waktu dan mungkin boleh dinaikkan semula jika ada tempat yang sesuai dipersetujui.
"Pelajar-pelajar ingin membuat petisyen supaya guru itu tidak dipindahkan," dakwa Avanus.
Malaysiakini sudah menghubungi pihak sekolah terbabit dan pejabat Menteri Pendidikan untuk mendapatkan respons mengenai dakwaan berkenaan namun belum mendapat sebarang maklum balas.
