Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah dipercayai dilanda krisis ekoran sebahagian besar bahagian parti itu tidak sehaluan dengan gaya kepimpinan pusat yang didakwa mereka lebih mengutamakan golongan "VIP" dalam parti itu.

PKR Baling dibubarkan minggu lalu dan bekas ketuanya, Radzi Md Lazim mendakwa ia sebagai membantah sikap pucuk pimpinan tertinggi parti itu yang mengutamakan golongan berkedudukan tinggi.

Ekoran sikap tersebut, dakwanya, pucuk pimpinan parti telah mengenepikan pemimpin peringkat bahagian yang berjuang dalam parti sejak PKR ditubuhkan pada 1999.

Radzi mendakwa, bahagian Baling telah dibubarkan apabila kira-kira 90 peratus ahli jawatankuasanya (AJK) meletak jawatan dan sebahagian besar daripada mereka telah keluar parti minggu lalu.

PKR Baling mempunyai kira-kira 1,000 ahli berdaftar dengan separuh daripada mereka aktif menjalankan pelbagai program kemasyarakatan sejak ia ditubuhkan lapan tahun lalu.

Adakan perbincangan

Radzi mendakwa sembilan bahagian lagi kini hanya menunggu masa untuk dibubarkan ekoran perbincangan mengenainya telahpun dibuat sebelum berlangsungnya kongres nasional PKR di Seremban akhir bulan lalu.

"Semuanya kerana membantah sikap pimpinan utama termasuk penasihat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Datin Dr Wan Azizah Ismail yang tidak menghiraukan bahagian sejak sekian lama.

"Kami tidak minat dengan cara kepimpinan Anwar yang mengutamakan golongan tertentu, terutama korporat, dalam kepimpinan walaupun mereka tidak mempunyai pengalaman dan tidak pernah bergaul dengan rakyat," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

Radzi berkata, beliau kecewa kerana pucuk pimpinan PKR tidak menghiraukan orang kebanyakan yang berjuang dan bergolok bergadai dalam parti sejak 1991, sebaliknya mengutamakan golongan yang berkedudukan.

Perkara ini, katanya, tidak berlaku semasa Anwar berada dalam penjara tetapi hanya terjadi setelah beliau dibebaskan dan diberi peranan sebagai penasihat PKR.

Gagal jumpa Anwar

"Seorang demi seorang orang korporat dibawa masuk ke dalam parti tetapi mereka ini tidak turun padang dan keadaan ini menyebabkan penyokong akar umbi merasa tersisih.

"Contoh paling ketara Anwar mengutamakan orang korporat yang rapat dengannya ialah pemilihan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai calon PKR dalam pilihanraya Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok," katanya.

Radzi berkata, beliau pernah cuba menemui Anwar untuk memberitahu beliau mengenai perkara tersebut tetapi gagal kerana penasihat parti itu terlalu sibuk dan tidak ada masa untuk berbincang.

Katanya, sekiranya Anwar mahu berjumpa semula, ahli-ahli parti menolak kerana "mereka tidak mahu berbincang dengan pemimpin yang tidak mengutamakan orang bawah".

"Saya tidak nampak PKR akan diterima rakyat lagi, dan dalam pilihanraya umum akan datang, parti ini akan mengalami nasib yang lebih buruk berbanding pilihanraya 2004," katanya.

Dalam pilihanraya umum lalu, PKR hanya menang satu kerusi Parlimen iaitu Permatang Pauh oleh Dr Wan Azizah, manakala ia tidak memenangi sebarang kerusi DUN.

Versi PKR Kedah

Bagaimanapun, lain pula ceritanya mengikut Ketua Perhubungan PKR Kedah, Johari Abdul. Beliau berkata, pada 2005 bahagian berkenaan gagal mengadakan mesyuarat, menyebabkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) menarik balik kelulusan penubuhan bahagian berkenaan.

Selepas itu, katanya, PKR negeri mewujudkan jawatankuasa sementara dan meminta Radzi mengadakan mesyuarat untuk mendaftar semula bahagian berkenaan.

Tetapi sehingga minggu lalu, kata Johari, Radzi gagal mengadakan mesyuarat tersebut.

Katanya, ini bermakna bahagian berkenaan hanya wujud hingga 2005 dan selepas itu ia hanya di peringkat penaja sahaja.

Jadi, katanya, tidak timbul bahagian Baling dibubarkan sementara yang didakwa oleh Radzi hari ini.

Johari berkata, selain Baling, lima lagi bahagian PKR Kedah - Sik, Pendang, Jerlun, Padang Terap dan Pokok Sena - hanya wujud di peringkat penaja sahaja.

Beliau menjelaskan, sebelum ini terdapat 15 bahagian PKR di Kedah dan sehingga ini penubuhan sembilan bahagian sudah diluluskan oleh ROS, manakala bakinya masih di peringkat penaja.

Walaupun masih di peringkat penaja, Johari berkata, bahagian-bahagian berkenaan boleh menerima keahlian dan menjalankan aktiviti parti.

Menurutnya, ROS telah mengambil tindakan membatalkan enam bahagian berkenaan sebelum ini kerana tidak mengadakan mesyuarat agung masing-masing.

Berikutan itu, katanya, PKR negeri telah mengambil inisiatif menubuhkan jawatankuasa sementara di enam bahagian berkenaan untuk membolehkan mesyuarat diadakan semula tetapi bertaraf penaja.

Mengenai bahagian Baling, Johari berkata, pihaknya telah mengenalpasti barisan ahli yang akan dilantik menggantikan ketua bahagian dan ahli jawatankuasanya yang telah meletak jawatan minggu lalu.

Ditanya mengenai dakwaan Radzi mengenai rancangan pembubaran bahagian PKR di Kedah kerana tidak sehaluan dengan kepimpinan pusat, Johari menyifatkannya sebagai perkara biasa dalam politik dan "sesiapa sahaja boleh membuat dakwaan seumpama itu".

Reaksi Radzi

Bagaimanapun, Radzi ketika ditanya mengenai kenyataan Johari itu berkata, tiga bulan lalu Johari sendiri datang ke Baling untuk merasmikan penubuhan Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang diadakan di Kampung Padang.

Katanya, beliau terperanjat dengan dakwaan Johari bahawa PKR bahagian Baling hanya wujud pada nama sahaja.

"Kalau begitu, macam mana Johari sendiri boleh datang merasmikan penubuhan AMK di bahagian Baling," katanya ketika diminta memperjelaskan kenyataan Johari itu.

Menurut Radzi lagi, memang terdapat kira-kira 1,000 ahli PKR di bahagian Baling sejak awal penubuhannya lagi.

Beliau juga menafikan bahawa bahagian berkenaan pernah dibatalkan pendaftarannya oleh ROS seperti yang didakwa oleh Johari.

"Kita memang menghantar laporan mengenai aktiviti parti kepada pejabat PKR Kedah, melainkan lima enam bulan kebelakang ini kerana kita sudah kurang menjalankan aktiviti," katanya.

Bagaimanapun, Johari pula berkata, beliau pergi ke bahagian Baling untuk menerima borang kemasukan kira-kira 150 ahli Umno ke dalam PKR.