Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan rugi RM505j akibat vaksin tamat tempoh, kata PAC

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendapati ada beberapa kejanggalan dalam perolehan kerajaan semasa kemuncak pandemik Covid-19 dan ia menyebabkan kerugian besar wang pembayar cukai.

Dalam laporan yang dikeluarkan hari ini, PAC menekankan tiadanya perjanjian kontrak untuk pembelian 136 mesin ventilator yang dibuat melalui syarikat gergasi farmaseutikal tempatan.

Keadaan itu, kata PAC, menyebabkan kerajaan terhalang daripada memulakan tindakan undang-undang untuk mendapatkan semula ganti rugi ekoran kerosakan terhadap 104 ventilator yang diterima Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2020.

PAC juga mendedahkan kerajaan mengalami kerugian RM505 juta akibat menerima kira-kira 8.5 juta vaksin Covid-19 yang telah tamat tempoh.

Ia termasuklah dos yang mencapai tempoh luput menjelang 1 Jun tahun ini.

Menurut PAC selain itu mereka menemui maklumat mengenai lebihan bekalan peralatan pelindung diri (PPE) yang diterima, selain kira-kira 850,000 penutup but bernilai RM927,000 akan mencapai tarikh luputnya menjelang akhir 2024.

Menurut PAC, walaupun Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd (PLSB) tidak mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam perolehan peralatan perubatan seperti ventilator, syarikat itu diarah membuat bayaran pendahuluan untuk alat bantuan pernafasan berikutan hubungan yang terjalin di antara KKM dan mereka.

“Ketiadaan perjanjian bertulis antara KKM dan PLSB menyebabkan tiada pihak yang bertanggungjawab atas kegagalan 104 ventilator (yang diterima KKM).

"Sehingga hari ini, kekaburan peranan PLSB dalam isu ini menghalang (kerajaan) daripada memulakan proses tindakan undang-undang," kata laporan itu.

Jawatankuasa itu juga mendapati wujud kenyataan bercanggah antara KKM dan PLSB berhubung jaminan untuk 136 ventilator.

Laksanakan proses dokumentasi

Pada 16 Feb, menurut siri kedua Laporan Ketua Audit Negara 2021, KKM telah memesan 136 ventilator berharga RM20.1 juta melalui peruntukan darurat. Bagaimanapun kemudian didapati ada antara alat berkenaan tidak dapat digunakan.

Mesin-mesin itu - yang ditempah daripada pengeluar di luar negara - bertujuan untuk meningkatkan aset perubatan hospital kerajaan semasa pandemik Covid-19.

PAC, bagaimanapun, tidak meletakkan kesalahan kepada KKM secara keseluruhan.

Dalam laporannya, PAC mengambil maklum tentang situasi pandemik yang menyebabkan kekurangan peralatan perubatan global dan persaingan antara negara untuk mendapatkan alat tersebut untuk melindungi rakyat masing-masing.

Ditambah dengan perintah kawalan pergerakan dan faktor wabak lain, PAC berkata, ia mendorong kerajaan membuat keputusan pantas, termasuk pegawainya hanya melakukan perbincangan, penilaian dan keputusan melalui WhatsApp.

Menurut PAC, lebihan bekalan vaksin menyebabkan kerugian lebih RM500 juta walaupun KKM memanjangkan jangka hayat vaksin dalam stok mereka sehingga 18 bulan.

Bagaimanapun, KKM telah melakukan perolehan berdasarkan unjuran dos vaksin yang diperlukan oleh negara.

"...lebihan bekalan vaksin berlaku kerana penurunan dalam jumlah permintaan serta kelewatan penghantaran dos vaksin yang dipesan atau didermakan," kata laporan itu.

Justeru PAC mengesyorkan agar pegawai kawalan kerajaan terus melindungi kepentingan awam walaupun perolehan dibuat semasa kecemasan.

Jawatankuasa itu berkata dokumentasi untuk perolehan kerajaan mesti dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh walaupun ketika yang sukar.

Ia juga mencadangkan agar KKM menyemak status jaminan untuk semua 136 ventilator dan memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab dalam perkara itu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS