Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ventilator rosak: KKM dan Pharmaniaga saling tuding jari - PAC

PARLIMEN | Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pharmaniaga menyalahkan satu sama lain berhubung 104 ventilator rosak yang mereka terima dari China pada 2020, kata Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Dalam laporan yang diterbitkan hari ini, jawatankuasa itu menegaskan tiada perjanjian kontrak yang ditandatangani antara kedua-duanya berhubung perolehan ventilator, dengan anak syarikat Pharmaniaga Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd (PLSB) telah bertindak sebagai perantara antara KKM dan pembekal di China.

Disebabkan ketiadaan kontrak perjanjian, PAC berkata tiada siapa yang boleh dipertanggungjawabkan atas masalah itu.

"Sikap menuding jari antara KKM dan PLSB mengakibatkan proses mengambil tindakan undang-undang (bagi mendapatkan ganti rugi untuk mesin yang rosak) masih belum dilaksanakan," kata laporan jawatankuasa parlimen itu.

PAC ditugaskan menyiasat perbelanjaan kerajaan dalam pengurusan Covid-19 semasa kemuncak pandemik pada 2020, terutamanya perolehan ventilator, vaksin dan peralatan perlindungan diri.

Ini berikutan laporan Jabatan Audit Negara membangkitkan isu mengenai perolehan, yang dilakukan ketika negara berada di bawah darurat kesihatan.

Menurut keterangan saksi kepada PAC, KKM percaya PLSB harus bertanggungjawab ke atas ventilator kerana ia diarahkan melalui syarikat itu.

"Saya suka untuk menggunakan perkataan ‘sepatutnya’. Kerana, ia ketiadaan hubungan kontrak.

"Terdapat ketiadaan kontrak antara KKM dan Pharmaniaga dalam hal inilah," kata Timbalan Ketua Setiausaha KKM Norazman Ayob menjawab soalan PAC jika KKM memang perlu berurusan dengan PLSB dan bukannya terus dengan pembekal di China sekiranya berlaku isu dengan ventilator.

Bagaimanapun, seorang eksekutif kanan Pharmaniaga memberitahu PAC bahawa PLSB hanya bertindak sebagai penerima untuk menerima mesin bantuan pernafasan itu daripada pembekal dan membantu mengedarkannya ke hospital KKM.

Ketua Pegawai Operasi Pharmaniaga Mohamed Iqbal Abdul Rahman dilaporkan memberitahu prosiding pada 14 Sept bahawa kontrak untuk perolehan ventilator antara KKM dan pembekal.

Tiada kontrak PLSB, pembekal

"Kontraknya ialah (antara) KKM dan pembekal.

"Pharmaniaga akan menjadi forwarding agent (ejen penghantaran) dan akan menjadi penerima dalam negara,” katanya menjawab soalan ahli PAC Syahredzan Johan.

Tiada perjanjian kontrak dibuat antara PLSB dan pembekal di China, menurut laporan itu.

Iqbal percaya KKM merupakan pihak yang berhak untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap pembekal ventilator, kata jawatankuasa itu.

Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin.

Sementara itu, laporan PAC juga mendedahkan penasihat undang-undang KKM tidak dirujuk sebelum kementerian mengeluarkan surat untuk melantik PLSB.

“Setahu saya, memang kita tidak dirujuk tapi saya akan semak lagi sekali sama ada penasihat undang-undang (KKM) dirujuk atau tidak.

“Akan tetapi saya dimaklumkan, setakat yang saya ada maklumat, tidak dirujuklah," kata penasihat undang-undang Yang Zaimey Yang Ghazali yang memberi keterangan pada Jun di hadapan jawatankuasa parlimen itu pada Jun.

Menurut laporan itu, PAC mendengar daripada saksi bahawa kerajaan memutuskan untuk melibatkan PLSB dalam proses perolehan ventilator atas beberapa faktor.

Ia termasuk keperluan mendesak untuk membuat bayaran pendahuluan seperti yang dikehendaki oleh pembekal luar negara dan status PLSB yang ditubuhkan sebagai pembekal kepada kerajaan.

Jawatankuasa itu juga mendengar bahawa PLSB mengambil alih tugas untuk membantu KKM dalam membeli ventilator sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporatnya.

Dikatakan PLSB tidak mengaut keuntungan atau mengenakan bayaran kepada kerajaan untuk perkhidmatan tersebut.

Lihat Komen
ADS