mk-logo
Berita
Orang Asli tak setuju rancangan K'tan ubah kawasan sensitif alam sekitar
Diterbitkan:  Nov 4, 2023 3:27 PM
Dikemaskini: 7:27 AM

Langkah Kerajaan Negeri Kelantan untuk melaksanakan cadangan perubahan kepada Pelan Pembangunan berkaitan pengubahsuaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) dijangka terus menghimpit dan menyisihkan hak serta kebajikan masyarakat Orang Asli di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Brooke Murad Mat, 44, berkata perancangan berkenaan semestinya akan melibatkan pembukaan kawasan yang lebih luas, sekali gus memburukkan lagi konflik yang dialami mereka kini.

Beliau berkata dalam jangka masa panjang, langkah pengubahsuaian KSAS dikhuatiri akan menjejaskan kehidupan generasi baharu Orang Asli sama ada dari segi penempatan mahupun pembangunan sosial mereka.

“Kita bukan menolak pembangunan yang dirancang tetapi buat masa sekarang kita tidak bersetuju kerana generasi Orang Asli akan terkesan.

“Tiada lagi kawasan serta tempat tinggal yang sempurna untuk menjalankan cara hidup kami dengan mencari hasil hutan dan berkebun, malah sumber air di kebanyakan kawasan di Tanah Rata Lojing juga akan semakin tercemar, selain risiko tanah runtuh di sekitar dan laluan ke penempatan kami,” katanya kepada Bernama di Gua Musang hari ini.

Mengulas lanjut, Murad juga melahirkan rasa khuatir pengubahsuaian KSAS akan turut mengubah budaya setempat masyarakat Orang Asli di Gua Musang.

“Kita juga bimbang perubahan budaya akan berlaku dan pupus dengan kehadiran ramai warga asing yang bekerja di sini sepertimana yang sedang berlaku ketika ini apabila ramai anak gadis Orang Asli berpindah dan tinggal bersama warga asing di sini,” katanya.

Turut senada, Ketua Penghulu Orang Asli Kelantan Bidi Ronggeng yang membantah sekeras-kerasnya sekiranya pembersihan hutan membabitkan penempatan, kebun, kawasan kubur serta kawasan tadahan air.

“Langkah kerajaan ini akan menyebabkan penempatan Orang Asli di daerah ini semakin mengecil, bahkan proses pewartaan kawasan masyarakat itu juga belum diselesaikan lagi,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas Mohd Syahbuddin Hashim berkata tiada kompromi dalam KSAS terutama berkaitan alam sekitar, konflik hidupan liar, tanah rizab taman negara dan kawasan tadahan air.

Beliau berkata tindakan pengubahsuaian itu bukan hanya memberi kesan kepada penduduk, malah turut menyebabkan kekeruhan air sungai, kejadian kepala air, bencana banjir dan sebagainya.

“Saya senada dengan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dalam hal ini kerana kita menghadapi sendiri kejadian-kejadian akibat daripada pembukaan kawasan baharu yang mengganggu ekologi dan keseimbangan ekosistem hutan, antara punca konflik hidupan liar seperti harimau, gajah dan beruang dengan manusia adalah kerana kawasan mereka diganggu-gugat.

Adun Galas Mohd Syahbuddin Hashim.

“Justeru, saya juga membantah dan memohon pihak kerajaan negeri untuk menimbal balik cadangan berkenaan,” katanya.

Kerajaan Negeri Kelantan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) kali ke-22/2020 pada 21 Okt 2020 memutuskan supaya kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK), kecuali kawasan punca air atau tadahan air, tidak lagi diklasifikasikan sebagai KSAS.

Pelaksanaan keputusan itu masih dalam peringkat draf Pengubahan Rancangan Pemajuan di Kelantan, iaitu Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Kelantan sedang melaksanakan Program Publisiti dan Penyertaan Awam mulai 11 Okt 2023 hingga 11 Nov 2023.

- Bernama

Lihat Komen
ADS