Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pulihara alam sekitar: Gagal bukan satu pilihan - Agong

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, usaha memelihara atau memulihkan ekosistem alam semula jadi perlu mendapat dorongan daripada kerajaan dan swasta.

Titahnya, kerajaan perlu mempunyai program untuk memantau secara wajib, khususnya di Pahang, dalam menentukan pemulihan alam sekitar dan memelihara habibat di hutan.

"Usaha memelihara atau memulihkan alam semula jadi ini dan juga usaha kita memelihara habitat, khususnya haiwan di dalam hutan perlu diberi satu pengiktirafan, galakan, dorongan oleh pihak kerajaan dan pihak swasta.

"Ini penting walaupun kadangkala kita tidak nampak 'the end result' (hasil akhir), tetapi hakikatnya kita akan dapat sedari atau rasai beberapa tahun akan datang, bukan sekelip mata.

"Sebab itu saya ingin menyarankan pihak kerajaan mesti ada satu program untuk memantau secara wajib, khususnya di Pahang ini menentukan program memulihkan alam sekitar, memeliharakan habibat di hutan... ada satu pemantauan di peringkat kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan," titahnya.

Baginda bertitah demikian pada majlis pelancaran program Eco-Schools dan GEP Roadmap 2030 di Temerloh, Pahang, hari ini.

Turut berangkat Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana yang juga Penaung Diraja Program Eco-Schools Pahang.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail dan Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying.

Sultan Abdullah turut berharap program berkenaan akan berjaya dan menjadi model untuk seluruh dunia. Malah baginda menganggap ia sama sekali tidak boleh gagal.

"Failure is not an option dan saya harap titah saya ini diambil serius, bukan untuk kita hadir, melancar, makan dan balik.

"Itu bukan semangatnya di sini, kita mahu lihat program ini program yang berjaya dan menjadi model untuk seluruh dunia," titahnya lagi.

Greening Education Partnership adalah inisiatif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang bertujuan menyampaikan tindakan teguh dan komprehensif bagi menyediakan setiap murid memperoleh pengetahuan, kemahiran, nilai dan sikap untuk menghadapi perubahan iklim.

Ia juga diwujudkan untuk memberi inspirasi kepada negara agar terus memperkasa murid dengan kemahiran diperlukan untuk tindakan iklim pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan dalam konteks peralihan ke arah ekonomi digital dan hijau.

Lihat Komen
ADS