Setelah hampir sedekat tertubuhnya Amanah, persoalan yang mencuri perhatian rakyat tidak lagi berkisar dalam kerangka idealisme perjuangan atau jalur fikrah yang mewarnai barisan kepimpinannya.
Ia melangkaui lebih daripada itu.
Sejak parti ini ditubuhkan pada tahun 2015, ia tidak hanya memperkukuh idealisme perjuangan, bahkan sudah semakin pragmatik dalam menerima kepelbagaian pendekatan dan realiti politik semasa.
Apatah lagi parti Amanah sudah semakin matang setelah diberi mandat oleh rakyat untuk menyertai kerajaan pusat melalui kerjasama politik ketika negara diterajui Dr Mahathir Mohamed dan sekarang bawah kepimpinan Anwar Ibrahim.
Dengan peluang ini, Amanah tidak hanya dapat menitip pengalaman dalam selok belok pentadbiran negara, malah pengalaman parti Amanah sebelum ini sebagai barisan pembangkang melengkapkan lagi parti ini untuk lebih menjiwai denyut nadi rakyat dan tidak lagi bermain dengan retorik politik semata-mata.
Justeru itu, sudah tentu cabaran terkini parti Amanah dalam mengukuhkan setiap marhalah perjuangannya akan lebih kompleks serta terkait rapat dengan kelangsungan dan daya tahan barisan kepimpinannya untuk menyerap dan memahami signal perubahan yang diberikan oleh ahli-ahlinya agar parti ini kekal diterima rakyat serta mampu mendominasi perjuangan politik Malaysia yang berteraskan Melayu-Islam.
Seawal kewujudan Amanah, antara persoalan yang kerap dilemparkan, apakah perlu ditubuhkan sebuah lagi parti Islam selepas wujud PAS sejak sekian lama?
Apakah Amanah hanya berbeza dengan PAS dari aspek pendekatan dan gaya berpolitik semata-mata?
Benarkah para pengasas Amanah merupakan golongan yang kecewa kerana kalah dalam pemilihan Pas 2015?
Benarkah Amanah menganggap PAS adalah seteru kuatnya, sepertimana PAS menganggap Amanah perlu “dibunuh” demi survivalnya?
Jika Pakatan Harapan berjaya menguasai kerajaan pusat, apakah sumbangan Amanah dalam kerajaan baharu terutama dari segi memartabatkan agenda Islam dan Melayu?
Memandangkan jumlah kerusi parlimen yang diperuntukkannya agak kecil sejauh manakah keberkesanan Amanah dalam mempengaruhi polisi atau dasar hala tuju negara?
Suka atau tidak, penubuhan parti Amanah telah menimbulkan pelbagai salah faham dan tafsiran yang menyimpang.
Para pemimpinnya dianggap golongan kecewa yang tidak dapat menerima kekalahan dalam Muktamar PAS 2015.
Mereka dilabel pengkhianat dan khadam DAP.
Parti ini juga tidak mampu bertahan lama dan akan berkubur dalam tempoh dua atau tiga tahun sahaja.
Namun begitu, di sisi lain, Amanah dilihat dalam kalangan pemerhati politik sebagai parti yang mempunyai masa hadapan yang cukup berpotensi dan mampu memainkan peranan yang besar dalam menangani faham ekstremisme yang semakin merebak.
Pendekatannya yang sederhana, membawa mesej Islam yang progresif, juga bersikap peduli rakyat dan insklusif, secara tidak langsung berjaya melenyapkan pelbagai keraguan yang dahulunya telah dijadikan mega naratif dalam kalangan masyarakat Malaysia, khususnya orang Melayu.
Persoalan-persoalan di atas semakin hari semakin terjawab dan terbukti Amanah bukan lagi parti nyamuk serta mampu kekal relevan dalam kelasnya tersendiri.
Namun demikian, untuk Amanah kekal bertahan dan pergi lebih jauh ia memerlukan enjin demokrasi yang diizin beroperasi dengan sebaik-baiknya dalam memilih barisan kepimpinan yang tidak hanya berdaya saing, bahkan berupaya memenuhi aspirasi teras politik orang Melayu-Islam.
Hal inilah kekurangan yang ketara serta perlu segera diatasi oleh Amanah untuk tahun-tahun yang mendatang.
Pertentangan fikrah atau uslub dalam perjuangan parti bukanlah perkara aneh – dan jauh sekali boleh dianggap sebagai ‘dosa’ besar yang mencemar keluhuran prinsip perjuangan parti selama ini, malah menyuburkan demokrasi dalam parti untuk memilih barisan kepimpinan baharu yang memenuhi realiti semasa tidaklah boleh disamakan sebagai pengkhianatan atau cubaan memecahbelahkan kesatuan.
Tidak syak lagi doktrin seumpama inilah yang telah merosakkan pelbagai organisasi.
Sebegitu ramai yang mencanang kononnya pemilihan dan pertukaran barisan kepimpinan hanya mengundang musibah dan perpecahan, hakikatnya mitos itu hanyalah menggambarkan kedangkalan fikrah dalam berorganisasi serta ketidakfahaman mereka berkenaan plan penggantian kepimpinan demi survival parti untuk 10 atau 20 tahun yang akan datang.
Suara-suara liar yang memberi mesej tidak benar berkenaan demokrasi, pertandingan dan penggantian untuk mencari pelapis barisan kepimpinan parti semakin hilang dan tidak dapat diterima oleh sebahagian besar ahli-ahli Amanah.
Ahli-ahli Amanah yakin dengan demokrasi dan perlunya sistem itu disuburkan dalam usaha mengukuhkan institusi kepimpinan Amanah yang amat memerlukan penjenamaan baharu, pendekatan serta memenuhi segmen utama masyarakat Melayu-Islam yang menginginkan Amanah terkehadapan dalam isu-isu yang menyentuh soal agama dan masa hadapan mereka.
Perjalanan Amanah sebagai sebuah parti yang memperjuangan Islam yang sederhana, bijak dalam mengurus negara, sensitif dengan isu-isu umat Islam dan cakna terhadap ekonomi masyarakat marhaen, akhirnya melahirkan pendekatan rahmah, yang semakin hari semakin diterima oleh masyarakat Malaysia sebagai sebahagian daripada dasar pengurusan negara yang lebih adil. Amanah perlu menyambung pendekatan ini.
Rahmah merupakan sebuah pendekatan yang holistik dan berupaya mengubah tanggapan masyarakat terhadap kesyumulan Islam sebagai dinul hayah atau cara hidup yang memberi rahmat kepada seluruh alam.
Bertitik tolak daripada hal tersebut, demi memastikan Amanah dilihat sebagai parti yang mendukung pendekatan rahmah untuk seluruh rakyat Malaysia, maka trasformasi kepimpinan perlulah dilaksanakan dalam kerangka sebagai penyediaan plan penggantian, dengan demokrasi sebagai wasilah untuk mencapai maqasid ke arah perubahan yang lebih baik demi kebaikan parti dan ahli-ahlinya.
ZULKIFLI MOHAMED adalah pengerusi Amanah Pahang dan merupakan ketua pengarah eksekutif Yayasan Rahmah Malaysia.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
