Ketua PKR bahagian Merbok letak jawatan
Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahagian Merbok, Mustafa Khalid Hanafi telah meletakkan jawatan dan keluar PKR awal bulan ini.
Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahagian Merbok, Mustafa Khalid Hanafi telah meletakkan jawatan dan keluar PKR awal bulan ini.
"Saya telah menghantar surat keluar parti kepada ibu pejabat parti di Kuala Lumpur baru-baru ini tetapi mereka tidak menjawab.
"Bagaimanapun, sama ada mereka terima atau tidak, saya tetap keluar PKR," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.
Beliau mendakwa, beberapa ahli jawatankuasa (AJK) akan keluar parti tidak lama lagi, dan diikuti sebahagian besar daripada kira-kira 3,000 ahli PKR bahagian Merbok.
"Jika ketua, AJK dan ahli keluar parti, apa yang ada lagi dalam PKR Baling melainkan menunggu masa untuk dibubarkan," katanya yang pernah menjadi pengarah pilihanraya PKR Kedah dalam pilihanraya umum 1999 dan 2004.
Sebelum ini, ketua PKR Baling, Radzi Md Lazim dan sebahagian besar AJK bahagian berkenaan, telah meletak jawatan dan keluar parti.
Sementara itu, Mustafa berkata, beliau keluar PKR kerana tidak sehaluan dengan kepimpinan pengerusi PKR Kedah, Johari Abdul dan penasihat parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Nafi bahagian bubar
Katanya, ahli PKR bahagian Merbok merasakan pengorbanan pemimpin peringkat bahagian yang telah lama berjuang dalam parti, tidak dihargai.
Sementara itu, Setiausaha PKR negeri, Abdul Hamid Othman ketika dihubungi berkata, menafikan laporan bahagian Baling dan sembilan bahagian PKR Kedah akan dibubar.
Katanya, Radzi telah meletak jawatan sebagai ketua bahagian Baling pada 23 November tahun lalu dan bukannya minggu lalu seperti yang didakwanya.
"Saya juga belum menerima apa-apa surat peletakan jawatan dari AJK bahagian Baling seperti yang didakwa Radzi.
"Bukan hak Radzi untuk membubarkan bahagian Baling kerana beliau merupakan ahli biasa PKR dan beliau juga tidak boleh mengatakan sembilan bahagian lain di Kedah akan dibubarkan," katanya.
Menurutnya, status bahagian Baling cuma penaja kerana ia hanya mempunyai 14 ahli berdaftar serta tidak pernah mengadakan mesyuarat agung sejak ditubuhkan pada 1999.
Sehingga ini, katanya, empat bahagian Baling, Pokok Sena, Merbok dan Kulim-Bandar Baru yang bermasalah, termasuk kegagalan mengadakan mesyuarat agung, masih di peringkat penaja.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.