Adun Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham mendakwa dia terus diganggu oleh pihak berkuasa yang menuntutnya untuk mengosongkan Pusat Khidmat DUN Gombak Setia.
Hilman dalam satu kenyataan berkata, dia sekali lagi menerima notis pengusiran daripada Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Gombak meskipun permohonan perintah injunksi telah diperolehinya.
“Saya dimaklumkan bahawa satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak oleh kerajaan negeri Selangor yang mengaitkan diri saya selaku Adun Gombak Setia sebagai penceroboh di atas tanah kerajaan yang telah sekian lama dijadikan Pusat Khidmat DUN Gombak Setia.
“Saya ingin menegaskan bahawa saya bukan penceroboh tanah kerajaan. Sebaliknya, saya telah mewarisi sebuah pusat khidmat DUN Gombak Setia yang telah dioperasikan sejak tahun 2008 sama ada oleh Adun kerajaan mahupun pembangkang,” katanya

Hilman sebelum ini memaklumkan Pusat Khidmat Rakyat Gombak Setia telah sekali lagi didatangi oleh penguat kuasa PTD Gombak serta Majlis Perbandaran Selayang (MPS) untuk menyerahkan dan menampal Notis Kesalahan Pendudukan Secara Tidak Sah di atas Tanah Kerajaan Seksyen 425 & 426A (1)(C) Kanun Tanah Negara 1965.
Hilman menganggap ia tindakan terdesak dan bermotifkan salah guna kuasa, ugutan dan vendetta politik oleh kepimpinan kerajaan negeri yang jelas takut akan kebangkitan rakyat menjelang PRN Selangor.
Ekoran daripada itu, Julai lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan perintah injunksi Hilman berhubung arahan pengosongan Pusat Khidmat DUN Gombak Setia oleh Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Gombak.
Hilman mendakwa notis pengosongan atau merobohkan pusat khidmat itu yang dikeluarkan oleh kerajaan Selangor melalui pentadbir PTD Gombak pada 6 Julai lalu sebagai tidak sah, menyalahi undang-undang dan bermotif politik.
Pihaknya kemudian telah mendapatkan permohonan untuk mendapatkan perintah injunksi terhadap pentadbir PTD Gombak dan kerajaan negeri bagi menghalang tindakan tersebut pada Rabu.
Mengulas lanjut, Hilman mempersoalkan tindakan yang dibuat kerajaan negeri dan pihak berkuasa itu yang dilihat seolah-olah menghina dan tidak menghormati proses perundangan yang sedang berjalan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Justeru, Hilman menegaskan kepada kerajaan negeri dan pentadbir Tanah Gombak supaya segera menghentikan tekanan dan ugutan politik terbabit.
“Isu pencerobohan tanah kerajaan sememangnya amat serius di negeri Selangor termasuk di daerah Gombak.
“Namun, mengapa sebuah pusat khidmat yang menjadi pusat aduan, perlindungan serta tempat rakyat memohon bantuan menjadi sasaran berterusan?
“Mengapa kawasan-kawasan lain yang diceroboh dibiarkan tanpa penguatkuasaan?” soalnya.
