NGO pilihan raya adil Bersih mengulangi gesaannya agar dana pembangunan kawasan pilihan raya diberikan sama rata kepada semua ahli parlimen tanpa mengira sokongan sama ada kepada pembangkang atau parti pemerintah.
“Kerajaan Madani pimpinan Anwar sepatutnya melakukan lebih baik daripada kerajaan terdahulu yang menahan peruntukan pembangunan kawasan daripada pembangkang dan ahli parlimen bebas.
"Malaysia harus menginstitusikan peruntukan peruntukan pembangunan kawasan mengikut undang-undang untuk memberikan peruntukan yang sama supaya ia tidak lagi mengikut budi bicara PM hari ini dan harus dijalankan sendiri atau melalui kerajaan tempatan yang dipilih," kata Bersih pada satu kenyataan hari ini.
Mutakhir ini, empat ahli parlimen Bersatu iaitu Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli) telah mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Kesemua mereka membuat keputusan itu dengan alasan demi kepentingan dan kebajikan pengundi di kawasan masing-masing.
Berikutan itu, Bersatu telah menggantung keahlian Suhaili selama enam tahun manakala Iskandar digantung empat tahun dan dua yang lain telah dirujuk kepada jawatankuasa disiplin parti.
Menurut Bersih, terdapat dua pokok permasalahan iaitu undang-undang antilompat sedia ada tidak berkesan dan peruntukan pembangunan kawasan menjadi alat tawar-menawar sokongan politik.
NGO itu selanjutnya menggesa parti pemerintah dan pembangkang untuk berusaha mengetatkan undang-undang antilompat bagi menutup kelemahan sedia ada.

Pun begitu, Bersih berkata ini berkemungkinan akan menghakis autonomi individu ahli parlimen untuk mengundi mengikut hati nurani mereka dan sebaliknya perlu mengikut keputusan parti atau berdepan keputusan dipecat dan kehilangan kerusi mereka.
“Penyelesaian pilihan Bersih ialah kerajaan perlu mempertimbangkan untuk melaksanakan pilihan raya pecat (recall election) kepada mereka yang menukar sokongan tanpa keluar dari parti mereka.
"Mekanisme ini digunakan di negara-negara seperti Taiwan dan Amerika Syarikat apabila pilihan raya pecat mengembalikan mandat kepada rakyat untuk mengisytiharkan sama ada sesuatu kerusi itu perlu dikosongkan atau tidak selepas wakil rakyat menukar pendirian untuk menyokong atau menentang perdana menteri.
"Tidak seperti undang-undang antilompat sekarang di peringkat persekutuan atau negeri yang memberi sama ada speaker atau DUN kuasa untuk menentukan kekosongan kerusi, pilihan raya pecat memberi kuasa kepada pengundi kawasan untuk memulakan petisyen sama ada untuk memecat atau mengekalkan wakil rakyat mereka - walaupun ini datang dengan beberapa implikasi kewangan," katanya.

Bersih sekali lagi mencadangkan Malaysia harus mempertimbangkan untuk memperkenalkan perwakilan nisbah sepenuhnya atau sebahagiannya sebagai sistem pilihan raya baru (atau campuran).
Dalam sistem perwakilan nisbah, kata NGO itu rakyat mengundi untuk parti dan kerusi diperuntukkan kepada parti mengikut kadar peratusan bahagian undi yang diraih mereka, jadi jelas sekali kerusi milik parti, bukan ahli parlimen individu.
