Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Agensi Nuklear: 'Kami yang cadang ekstrak torium, bukan Lynas'

Agensi Nuklear Malaysia hari ini berkata cadangan untuk mengekstrak torium daripada sisa nadir bumi yang diproses di Kilang Lynas dikemukakan agensi itu dan bukan daripada pihak Lynas.

Ketua Pengarahnya, Muhammad Rawi Mohamed Zin, yang bertanggungjawab ke atas program penyelidikan dan pembangunan teknologi agensi itu berkata mereka mengemukakan cadangan itu kerana "terdapat pasaran" bagi bahan radioaktif tersebut.

Dia berkata demikian pada ‘sesi awam Himpunan Hijau dan Save Malaysia, Stop Lynas (SMSL)’ yang dianjur oleh kumpulan pencinta alam sekitar di Kuala Lumpur, hari ini.

"Sebenarnya, bukan Lynas cadangkan, itu cadangan kami (Nuklear Malaysia),

"Kerana ia dapat membantu kami, ada pasaran untuk ekstrak torium, itu yang kami nak," kata Rawi ketika memetik cadangan aktivis alam sekitar yang mencadangkan kepada kerajaan untuk mengekstrak torium tanpa penglibatan Lynas.

Dia merupakan salah seorang pegawai kerajaan yang hadir kepada sesi awam bagi membincangkan keputusan kerajaan untuk menyambung lesen operasi Lynas di Malaysia.

Sesi tersebut diadakan bertujuan memberi penjelasan mengenai penilaian Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkaitan syarat pelesenan Lynas.

Bagaimanapun, kenyataan Rawi bercanggah dengan kenyataan Menteri Mosti, Chang Lih Kang bulan lalu.

Menurut Chang, Lynas telah mencadangkan kepada kerajaan untuk mengekstrak torium daripada bahan radioaktif residu sisa Penulenan Air Larut Lesap (WLP) dan lantanida.

Sementara itu, beberapa aktivis menyuarakan kebimbangan mengenai komitmen kerajaan untuk menguatkuasa syarat yang ditetapkan bagi melanjutkan operasi Lynas di Malaysia.

Pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tack berkata ia sesuatu yang membimbangkan apabila kerajaan membenarkan Lynas terus menjalankan operasi di negara ini walaupun didakwa telah melanggar banyak syarat perlesenannya sebelum ini.

"Semua janji untuk menguatkuasakan syarat, termasuk membatal dan menggantung lesen Lynas, banyak kali telah diutarakan," katanya kepada wartawan selepas tamat sesi tersebut.

Untuk rekod, Lynas mendakwa telah mematuhi syarat pelesenan dan mendakwa menjadi sasaran kerajaan.

Ahli Jawatankuasa pergerakan itu, Bang Seet Ping, mempersoalkan jaminan pihak berkuasa ke atas syarikat pemprosesan sisa nadir bumi itu bahawa mereka tidak akan mencabuli syarat perlesenan yang ditetapkan.

Dia juga menuntut agar pegawai daripada Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) dan kementerian menyatakan anggaran kos bagi membersihkan sisa yang dihasilkan oleh Lynas.

Ia timbul selepas ketua Pengarah AELB, Noraishah Pungut, memberitahu pada sesi tersebut bahawa Lynas telah membayar deposit sebanyak USD50 juta (RM234 juta) untuk operasinya di Malaysia.

Bulan lalu, Mosti mengumumkan bahawa syarat-syarat lesen untuk Lynas beroperasi di Malaysia dan mengimport bahan radioaktif semulajadi telah diubahsuai oleh AELB.

Salah satu perubahan utama adalah bahawa kerajaan tidak lagi mengkehendaki Lynas memindahkan kemudahan retak dan larut di Gebeng, Kuantan - yang menghasilkan sisa radioaktif WLP - keluar dari Malaysia.

Syarat yang melarang mereka daripada mengimport lanthanide concentrate juga telah ditarik balik.

Bagaimanapun, Lynas masih perlu membina kemudahan pelupusan kekal (PDF) untuk menyimpan sisa radioaktif dan menyumbang kepada dana penyelidikan dan pembangunan, sebagaimana yang termaktub dalam syarat-syarat asal yang diberikan oleh kerajaan semasa melanjutkan lesen Lynas sehingga tahun 2026.

Hal ini tidak disambut baik kumpulan-kumpulan pencinta alam, yang menuntut lebih penjelasan dan ketelusan dalam perkara tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS