Sembilan hakim akan membuat keputusan terhadap permohonan semakan yang difailkan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman bagi mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
Mereka ialah Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Man, dan disertai Abang Iskandar Abang Hashim (Presiden Mahkamah Rayuan), Mohamad Zabidin Mohd Diah (Hakim Besar Malaya), Abdul Rahman Sebli (Hakim Besar Sabah dan Sarawak), serta lima lagi hakim Mahkamah Persekutuan - Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan, Harmindar Singh Dhaliwal, Nordin Hassan, dan Abu Bakar Jais.
Panel itu dijangka mendengar hujahan lisan daripada dua amicus curiae (rakan mahkamah), iaitu Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), dan Persatuan Peguam-peguam Islam Malaysia.
Pagi tadi kira-kira 2,000 ahli dan penyokong PAS berkumpul di pekarangan Istana Kehakiman di Putrajaya sebagai tanda sokongan terhadap Himpunan Pertahan Syariah yang digerakkan parti itu.

Walaupun ia adalah terkait dengan kesahan enakmen tersebut mematuhi perlembagaan negara atau tidak, PAS menganggap permohonan dikemukakan peguam terbabit adalah mencabar undang-undang syariah dalam negara ini.
Inti pati utama permohonan Nik Elin dan Tengku Yasmin ialah meminta agar Mahkamah Persekutuan membatalkan 20 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan atas alasan dewan undangan negeri terbabit bertindak melangkaui bidang kuasa mereka.
Sebelum ini PAS mendakwa mereka berhimpun untuk "memperteguh perundangan syariah negeri-negeri" yang "cuba diruntuhkan” oleh pihak tertentu.

Antara pemimpin PAS yang kelihatan hadir dan melakukan solat hajat di pekarangan kompleks mahkamah pagi ini ialah beberapa pemimpin kanan PAS seperti timbalan presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man, Idris Ahmad (naib presiden), Takiyuddin Hassan (setiausaha agung), dan Ahmad Fadhli Shaari (ketua penerangan).
Tidak ketinggalan bekas setiausaha agung BN Annuar Musa, serta Naib Presiden Bersatu yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, Radzi Jidin.
Sebahagian besar orang ramai melaungkan "Jahanam Zionis", "Hidup syariah" dan "Hancur liberal".

Bekas timbalan menteri undang-undang, Hanipa Maidin, baru-baru ini menjelaskan, dalam negara ini undang-undang tertinggi ialah Perlembagaan Persekutuan.
Bidang kuasa untuk menggubal sesuatu enakmen (di peringkat negeri) atau akta (parlimen) dibatasi oleh sempadan tertentu mengikut perlembagaan.
Oleh kerana itu, katanya sesuatu enakmen atau akta mestilah berada dalam had yang dibenarkan oleh perlembagaan.
“Jika sempadan itu dilanggar, maka Mahkamah Persekutuan boleh mengisytiharkan akta mahupun enakmen tersebut terbatal,” katanya.
Tinjauan Malaysiakini mendapati antara yang hadir hari ini ialah sekumpulan pelajar kolej yang datang dari Kota Bharu, Kelantan dan tiba seawal jam 2 pagi menaiki van.
Seorang daripada mereka, Sharmila (bukan nama sebenar) berkata undang-undang syariah ini penting bagi umat Islam dan tak patut disentuh oleh sesiapa.
"Sepatutnya kerajaan kena ambil tindakan kerana dalam perlembagaan tertulis Islam sebagai agama rasmi," katanya.
