Kepimpinan Muda mengumumkan bahawa ia akan mengadakan pemilihan parti pertamanya pada 2024, dan ia akan melaksanakan 'Agenda Rejuvenasi Parti' berkuat kuasa serta-merta.
Ini didedahkan selepas parti itu mengadakan mesyuarat jawatankuasa pusat yang pertama sejak Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berundur daripada jawatan presiden.
Pemangku presiden Amira Aisya Abdul Aziz memberitahu sidang media hari ini bahawa parti itu menyasarkan suku kedua tahun depan untuk mengadakan pemilihan parti.
"Sejak penubuhan Muda, kini parti ini telah mendaftarkan lebih dari 80,000 ahli di seluruh negara. Pendaftaran ini dibuat secara terbuka kepada semua dan tidak melibatkan birokrasi pendaftaran yang rumit.
"Hasilnya, Muda telah berkembang dengan skala yang besar dalam masa yang singkat," kata Muda dalam satu kenyataan.
Ia menambah bahawa memandangkan proses terbuka telah menyebabkan ramai ahli menyertainya, parti itu akan menjalankan semakan ahli dan status mereka.
“Agenda Rejuvenasi Parti juga akan dilaksanakan secara berperingkat bersama dengan program Sekolah Muda serta penubuhan rasmi setiap Parlimen bagi memastikan Ahli Muda adalah muda.
"Muda percaya bahawa ketetapan ini dilaksanakan sebagai salah satu langkah utama untuk memperkukuhkan kedudukan Muda di peringkat dalaman," katanya.
"Pemilihan parti yang akan dibuat ini menyasarkan kematangan Muda dalam politik organisasi dengan penglibatan ahli dari setiap peringkat seluruh negara.
"Pengumuman penuh berkenaan pemilihan akan dibuat pada masa yang akan ditetapkan kemudian," tambahnya.
Ia mengumumkan bahawa Amira akan memastikan bahawa dua keputusan penting yang dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa pusat adalah fokus utama parti.
"Dalam tempoh 100 hari yang akan datang, sasaran Amira adalah
untuk mengadakan perjumpaan rasmi dengan ahli-ahli Muda seluruh negeri.
"Jadual dan takwim pemangku presiden akan diumumkan dalam masa yang terdekat.
"Perjumpaan ini akan dilaksanakan bagi memastikan setiap rencana parti dapat diangkat di peringkat negeri dengan cermat, memperkukuhkan hubungan pimpinan nasional dengan ahli dan membuka ruang untuk ahli parti berurusan dengan langsung," kata kenyataan itu lagi.
Aisya, yang merupakan Adun Puteri Wangsa mengambil alih jawatan presiden selepas Syed Saddiq didapati bersalah atas empat pertuduhan rasuah.
