Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PRK Kemaman | Ketika kejatuhan pentadbiran BN pada 2018 iaitu selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Parlimen Kemaman turut mengalami transisi politik yang drastik.

Apabila pentadbiran Putrajaya dikuasai PH, pengundi Kemaman pula memilih wakil rakyat PAS selepas sekian lama berada bawah pengaruh BN.

Malah PAS melalui calonnya Che Alias Hamid pada PRU ke-15 lalu melakar kemenangan besar dengan majoriti lebih 27,000 undi.

Selepas Ahmad Shabery Cheek muncul sebagai pemimpin BN yang tidak asing selama tiga penggal menjadi wakil rakyat bagi kawasan itu sebelum ini, Kemaman kini memberi gambaran betapa pengaruh PAS begitu menebal.

Ahmad Shabery Cheek

Rakyat Kemaman sudah terbiasa berada bawah ‘payung’ Putrajaya ketika dikuasai BN, apabila beralih kepada pengaruh PAS ia sekali gus menjadi kawasan pembangkang sepertimana berlaku hari ini.

Persoalannya, ketika menjadi kawasan kerajaan persekutuan apakah pengundi dan rakyat Kemaman ‘tersakiti’ atau mungkinkah sentuhan serta khidmat daripada parti pembangkang lebih menyentuh jiwa rakyat?

Benarlah banyak kubu kuat BN di tempat lain juga tumbang ketika itu dengan segala isu didepani pentadbiran Najib Razak dan akhirnya pada PRU ke-15 lalu, kesemua lapan kerusi Parlimen di Terengganu dimenangi Perikatan Nasional (PN).

Begitu juga di peringkat dewan undangan negeri (DUN) apabila PAS dan PN menyapu bersih 32 kerusi. 

Kini pengundi di Parlimen Kemaman sekali lagi - sama ada mahu atau tidak, mereka perlu memilih untuk meletakkan kawasan itu berada di pihak yang mana.

Faktor calon

Pola pengundian secara kasarnya dalam senario politik Malaysia dilihat masih tebal dengan perang persepsi berbanding penilaian khidmat. 

Jika khidmat kepada rakyat dinilai kurang bagus, ditambah pula dengan persepsi tidak berpihak kepada mereka, maka sesebuah parti pasti dihukum. Begitulah sifir mudah membaca peralihan kuasa politik.

Dalam situasi mutakhir ini, mungkin dilihat BN ‘balik awal’ pada pilihan raya kecil (PRK) Kemaman kali ini, namun atas asbab meraikan demokrasi mereka pasti sedaya mungkin wujudkan persaingan sengit. Kendati pun tidak menang, sekiranya berjaya mengurangkan majoriti besar yang dicapai PAS dalam PRU15 lalu pun sudah memadai.

Di atas kertas calon PAS sudah menang bergaya, memasuki penggal kedua mentadbir Terengganu menjadi kelebihan buat calonnya, Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sebaliknya BN pula menampilkan muka baru dalam kancah politik Terengganu apabila mempertaruhkan bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia, Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Samsuri (kiri) dan Raja Mohamed Affandi

Sebagai orang baru yang belum diuji, di sudut itu - pengundi Kemaman masih boleh meletakkan kepercayaan kepadanya, lalu menjadikan Kemaman satu-satunya kerusi parlimen Terengganu yang selari dengan pentadbiran Putrajaya.

Secara logik dan klisenya, jika menjadi realiti - sewajarnya Kemaman akan menerima lebih banyak tumpuan dan peruntukan daripada kerajaan pusat berbanding kawasan parlimen lain di negeri Darul Iman itu.

Namun, hanya pengundi Kemaman sendiri dapat fikirkan dan mempertimbang pilihan yang bagaimana mereka mahukan.

Tinjauan Malaysiakini sejak selepas hari penamaan calon Sabtu lalu, rata-rata penduduk khususnya penyokong Umno lebih banyak memperkatakan jasa dan bakti Ahmad Shabery.

Walaupun enggan disiarkan nama ketika ditemu bual, beberapa pengundi mendedahkan penolakan terhadap BN disebabkan kepimpinan utama yang ada kini.

Namun, bagi mereka Ahmad Shabery sudah memberikan sentuhan terbaik sepanjang menjadi ahli Parlimen, khususnya bagi golongan nelayan. 

“Ahmad Shabery jiwanya dekat dengan nelayan, sentiasa ada bersama dan selalu turun bertanya khabar ketika jadi menteri.

“Kalau balik Kemaman, lepas subuh dengan kain pelikat saja duduk kedai kopi dengan nelayan, dengar masalah, bagi nasihat atau tolong selesaikan masalah.

“Tapi keadaan sekarang banyak berubah dah, politik pun jadi lagu lain dah,” katanya seorang warga emas berusia 70 tahun. 

Sementara itu penganalisis politik Mazlan Ali yang diminta mengulas mengenai peluang kepada BN berkata, kebiasaannya dalam PRK peratusan keluar mengundi akan lebih rendah berbanding ketika pilihan raya umum.

Mazlan Ali

Menurutnya, dalam konteks PRK Kemaman situasinya tidak menutup peluang untuk BN melakar kemenangan walaupun sukar kerana PAS adalah parti pilihan untuk mempertahankan kerusi itu.

“Kebiasaannya dalam PRK peraturan keluar mengundi akan lebih rendah, ia mungkin akan menjejaskan majoriti PAS. 

“Calon BN mungkin memberi tarikan kepada pengundi setelah PAS atau PN kuasai semua 32 DUN dan lapan parlimen.

“Mungkin BN akan bawa naratif untuk jadikan Kemaman sebagai platform pelbagai bantuan pembangunan daripada kerajaan persekutuan,” katanya kepada Malaysiakini.

Mengulas lanskap perubahan politik di Kemaman, pensyarah kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata, sebagai antara parlimen paling maju di Terengganu tidak dapat dinafikan ia adalah hasil usaha pemimpin BN sebelum ini.

Pengaruh media sosial, pengundi muda

Katanya, legasi pentadbiran bekas menteri besar Wan Mokhtar Wan Ahmad berjaya menjadikan Kemaman sebagai hub industri penting khususnya industri minyak dan gas.

“Bagaimanapun, landskap politik Terengganu berubah dalam tempoh lima hingga 10 tahun kebelakangan yang turut mengubah Kemaman daripada kawasan pengaruh kuat BN kepada kawasan pengaruh PAS.

“Antara faktornya adalah kesan kemajuan media sosial, yang menjadi platform perubahan minda rakyat terutama generasi muda. Mereka tidak lagi terikat dgn naratif politik lama yang dibawa Umno/BN, ia perubahan zaman di mana struktur sosial lama telah berubah menjadi lebih terbuka. 

“Perkembangan kawasan perumahan baru juga memecahkan dominasi Umno terhadap orang Melayu tradisional yang tinggal di kampung-kampung. Dahulu Umno mudah mengawal orang kampung melalui agensi-agensinya.

“Tetapi dengan berkembangnya kawasan perumahan, penduduk generasi baru yang lebih berpendidikan, bekerja sektor kerajaan dan swasta tidak lagi terikat dengan pengaruh seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas),” katanya.

Tambah Mazlan, penduduk yang berpendapatan tinggi dan sederhana tidak memerlukan bantuan dari agensi-agensi propaganda kerajaan seperti mana orang-orang kampung yang masih mengharapkan bantuan kerajaan.

”Selain itu, jurang generasi baru dan lama yang semakin meluas juga mendorong kepada kemerosotan pengaruh Umno. Generasi baru tidak terpengaruh dengan naratif lama, tetapi terpengaruh dengan naratif baru yang dimainkan di media-media sosial.

“Isu rasuah dan politik wang yang melanda Umno sebelum ini turut memberi kesan dan persepsi negatif kepada generasi baru termasuk golongan undi18 yang kini mendominasi pengaruh,” katanya.

Justeru, berdasarkan situasi realiti semasa dapat disimpulkan betapa BN perlu bekerja keras dalam usahanya meleburkan ‘posisi selamat’ dimiliki PAS.

Ia pastinya tugas yang mustahil, namun dalam politik -  sama sekali tidak menjadikan tanggapan mustahil sebagai sandaran yang boleh menidakkan perjuangan.

Analisis Malaysiakini setakat ini mendapati BN sukar untuk merampas Kemaman.


Baca: Sukar bagi gabungan Madani rampas kerusi Kemaman


Sokongan terhadap PAS menunjukkan trend peningkatan sejak pilihan raya umum 2018 (44 peratus) kepada 58.11 peratus pada 2002 dan 63.56 pada pilihan raya negeri (PRN) tahun ini.

Malah, dalam PRN lalu, PN memang semua empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kemaman - Kemasik, Kijal, Cukai, dan Air Putih - dan mendapat tambahan 1,500 undi.

BN pula hanya memperoleh tambahan tujuh undi walaupun kini bekerjasama dengan PH- yang memperoleh 8,340 undi di Kemaman semasa PRU15.

Ini menunjukkan peratusan keluar mengundi lebih rendah dalam kalangan penyokong kerajaan pusat dan sejumlah besar pengundi BN beralih kepada PN.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS