Pemecatan kakitangan sebuah restoran di Kuala Lumpur kerana memakai rantai dengan loket salib merupakan tindakan "diskriminasi", kata Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii.
Yii berkata tindakan Restoran Mon Chinese Beef Roti menyalahi undang-undang dan "mencabar" prinsip kebebasan beragama di Malaysia.
Katanya, orang bukan Islam dibenarkan menyediakan makanan halal asalkan memenuhi syarat-syaratnya.
“Restoran sepatutnya hanya mengeluarkan kenyataan memberi jaminan kepada orang ramai bahawa semua garis panduan penyediaan makanan halal dipatuhi dengan ketat.
"Tidak perlu memecat seorang pekerja jujur yang sekadar menggunakan haknya untuk menyatakan kepercayaannya," kata Yii, lapor Borneo Post.

Restoran Mon Chinese Beef Roti mendakwa pihaknya telah memberhentikan seorang kakitangan yang memakai rantai salib itu selepas video yang memaparkan kakitangan berkenaan telah tular.
Satu video menyoal jika restoran itu cuba menipu pelanggannya kerana kakitangan terbabit memakai rantai salib tersebut walaupun turut memakai songkok di kepala.
Restoran itu berkata pengambilan kakitangan tersebut satu "kesilapan" kerana pihaknya tidak melakukan pemeriksaan latar belakang yang mencukupi.
Jurucakap restoran itu berkata mereka mempunyai empat kakitangan dari China dan seorang pekerja tempatan - semuanya orang Cina Muslim.
Berikutan itu, restoran berkenaan telah dikritik dalam talian kerana tindakan diskriminasi. Beberapa netizen menggesa pekerja yang diberhentikan itu untuk menyaman restoran tersebut.
Yii melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan sikap tidak bertoleransi antara kaum dan agama di Malaysia dengan kemajmukan tidak lagi dihormati.
“Apa yang malang ialah sikap tidak bertolak ansur antara kaum atau agama bukan sahaja memecahbelahkan negara kita tetapi dalam hal ini, ia menyebabkan seorang yang jujur kehilangan pekerjaan.
“Situasi sebegini tidak seharusnya dibiarkan berlarutan dan merebak ke Sabah dan Sarawak di mana kita telah hidup dalam harmoni, dan menghormati satu sama lain dan kepercayaan orang lain walaupun dalam suasana berbilang agama,” katanya.
Sehubungan itu, Yii menggesa Putrajaya menggubal undang-undang antidiskriminasi dan menyediakan pendidikan yang lebih baik mengenai diskriminasi.