Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sivakumar: KSM akan buat siasatan penuh sindiket kuota pekerja asing

PARLIMEN | Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan memulakan siasatan terhadap sindiket kuota pekerja asing yang melibatkan enam syarikat.

Bercakap di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata dia maklum isu itu, yang telah dilaporkan secara meluas oleh Malaysiakini sejak beberapa hari lalu.

"Dalam kes ni, satu siasatan penuh akan dilaksanakan oleh KSM. Saya akan buat pelaporan berhubung isu ni. Pada masa ini, perkara ini masih dalam siasatan," katanya semasa ucapan penggulungan kementeriannya selepas ahli parlimen membahaskan Rang Undang-undang Belanjawan 2024 di Peringkat Jawatankuasa.

Sivakumar menjawab soalan Khoo Poay Tiong (Pakatan Harapan – Kota Melaka) mengenai cara permohonan import kuota pekerja asing oleh enam syarikat terbabit dalam sindiket itu diluluskan menggunakan dokumen palsu.

“Mereka bagi dokumen palsu, buat permohonan. Contoh beri nombor insurans palsu, alamat palsu, pelanggan yang palsu, bagaimana pegawai boleh luluskan permohonan mereka?" soal Khoo.

Dalam sindiket yang didedahkan oleh Malaysiakini, sekumpulan enam syarikat memperoleh kuota untuk mengambil sejumlah 1,625 pekerja asing bagi sektor perkhidmatan pada 2022.

Syarikat itu termasuk Star Domain Resources Sdn Bhd, Aecor Innovation Sdn Bhd, Puncak Jupiter Management Services Sdn Bhd, QL-marketing Sdn Bhd, GTM Marketing, dan Buloke Holdings Sdn Bhd (Maxim).

Secara kolektif, enam syarikat itu telah memohon lebih 4,000 pekerja tetapi menerima kelulusan kuota 1,625 pekerja, menurut dokumen yang dilihat oleh Malaysiakini.

Selepas menerima makluman kelulusan kuota daripada bahagian pekerja asing di Jabatan Tenaga Kerja, syarikat berkenaan menjelaskan levi dengan Jabatan Imigresen sebelum surat kelulusan rasmi diperoleh.

Jabatan Imigresen menerima kira-kira RM3 juta bayaran levi daripada syarikat-syarikat tersebut.

Walau bagaimanapun, dalang dalam kesemua enam syarikat dalam sindiket itu didakwa menggunakan syarikat cengkerang (shell) atau syarikat sedia ada milik orang lain dan tidak meninggalkan jejak wang yang boleh mengaitkannya dengan perniagaan tersebut.

Sumber memberitahu Malaysakini bahawa semua pembayaran dikendalikan secara tunai dan dibawa dalam beg sandang besar.

Beberapa individu yang terlibat dengan syarikat itu mengesahkan telah berurusan dengan individu berkenaan. Malaysiakini tidak mendedah identitinya sementara menunggu maklum balasnya.

Menurut pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) polis Ramli Mohamed Yoosuf, dalang yang didakwa telah ditahan pada 10 Julai atas dakwaan bahawa dia adalah sebahagian daripada penipuan pengambilan pekerja asing.

Ramli berkata polis bertindak atas laporan seorang pemastautin tetap yang berkata mereka kerugian RM1 juta dalam penipuan pengambilan pekerja asing, diketuai lelaki berusia 46 tahun itu, yang kini diikat jamin.

Dia berkata polis juga sedang menyiasat beberapa syarikat Malaysia yang terlibat dalam pengambilan pekerja asing serta kaitan mereka dengan individu berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS