Kerajaan Pahang pada 2021 membuat permohonan agar Pulau Tioman dan tiga pulau berdekatannya dinyah warta daripada kawasan perlindungan marin (MPA).
Kerajaan negeri didapati membuat keputusan itu pada 19 Jan dan 16 Mac 2021 bagi membolehkan mereka membina lapangan terbang baru di Tioman sebagai langkah meningkatkan kedatangan pelancongan.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2022, Pahang mengesyorkan agar Tioman dan tiga pulau lain - Soyak, Rengis dan Tumok - dikeluarkan dari gugusan taman laut.
Tiga pulau kecil itu adalah lokasi kegiatan menyelam dan snorkeling paling popular di luar pantai barat Tioman.
Keputusan itu menjadikan jumlah pulau yang menjadi taman laut berkurangan kepada 10 berbanding 14 sebelumnya.
Menurut laporan itu lagi Jabatan Perikanan Pahang pada 2022 memberitahu kerajaan negeri bahawa mereka tidak bersetuju dengan rancangan tersebut.
Dalam surat menyurat kepada Jabatan Audit Negara pada Jun dan Ogos 2023, jabatan itu antara lain berkata, mereka telah merangka kertas kabinet untuk mencadangkan pindaan kepada Akta Perikanan 1985 bagi mengetatkan undang-undang mengenai penyingkiran MPA.
Ketua Audit Negara dalam laporannya berkata cadangan untuk mengeluarkan pulau-pulau daripada senarai taman laut berpotensi menjejaskan matlamat Putrajaya untuk mengklasifikasikan 3,126 km persegi sebagai kawasan taman laut (MPA) menjelang 2030.
Pada masa ini, hanya 2,769.12 km persegi telah dicapai. Matlamat utama Putrajaya adalah untuk mengisytiharkan 31,261.246 km persegi sebagai MPA.
Kepulauan Tioman diklasifikasikan sebagai taman laut pada tahun 1994.
Mengikut Seksyen 41 Akta Perikanan 1985, menteri boleh mewujudkan sesuatu kawasan sebagai taman laut untuk melindungi terumbu karang. Akta Perikanan 1985 terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Pada Ogos lalu kabinet memutuskan untuk tidak meneruskan cadangan pembinaan lapangan terbang baru di Tioman kerana ia akan melibatkan penebusan tanah dan berpotensi merosakkan hidupan marin.
MPA di Malaysia terdiri daripada enam kategori iaitu taman laut, kawasan larangan perikanan, kawasan perlindungan bagi timun laut, taman negeri, taman negara dan kawasan pemuliharaan.
Pengurusannya berada di bawah dua peringkat pentadbiran iaitu kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri melalui akta, enakmen atau ordinan masing-masing.
Berdasarkan Senarai Induk Kawasan Perlindungan, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim pada 2016, terdapat 65 MPA di Malaysia.
Jabatan Perikanan Malaysia menguruskan 51 MPA yang terdiri daripada taman laut, kawasan larangan perikanan dan kawasan terlindung bagi timun laut.
