Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akaun Aman Palestin beku, didakwa salah guna derma lebih RM15 juta
Diterbitkan:  Nov 23, 2023 11:27 AM
Dikemaskini: 5:43 AM
  • Dikemas kini dengan berita penuh.

Sebanyak 41 akaun bank milik Aman Palestin Berhad dan entiti syarikat lain dibeku babit wang bernilai lebih RM15 juta, maklum Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pembekuan akaun ini berkaitan siasatan terhadap “dakwaan Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai yang telah dijalankan sejak 17 Oktober 2023.”

"Suruhanjaya ini telah membekukan sebanyak 41 akaun bank syarikat pertubuhan amal tersebut dan beberapa entiti syarikat lain dengan jumlah keseluruhan RM15,868,762, semalam.

"Sebelum ini, SPRM turut membuat penggeledahan di premis Aman Palestin serta memperoleh dokumen-dokumen berkaitan kewangan dan pengurusan operasi bagi tempoh lima tahun terdahulu," kata SPRM pada satu kenyataan hari ini.

Siasatan berkenaan dijalankan bagi mendapatkan keterangan berhubung kesalahan-kesalahan di bawah Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) dan Kanun Keseksaan (Akta 574).

"SPRM juga telah merakam beberapa keterangan saksi-saksi penting dan hasil siasatan awal telah mengenalpasti beberapa isu melibatkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM70 juta yang disalurkan bagi tujuan selain daripada objektif penubuhan syarikat berkenaan," kata suruhanjaya antirasuah itu lagi.

Aman Palestin sebelum ini telah berdepan kesukaran di Perlis apabila  Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) menghentikan kutipan di negeri itu sementara menunggu siasatan.

Sebelum ini, Mufti Perlis Asri Zainul Abidin telah memberi amaran supaya berhati-hati dengan penipu yang “menunggang” nama Palestin.

Dia bagaimanapun tidak menyebut identiti pihak itu secara khusus.

Aman Palestin menuntut penjelasan dan bukti bahawa mereka terlibat penipuan dan penyelewengan wang kutipan derma di Perlis.

"Pihak mana yang telah membuat aduan dan meminta kami disiasat berkaitan wang kutipan yang dikumpulkan. 

“Adakah terdapat sebarang laporan polis, laporan kepada Jabatan Mufti, JAIPs atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis mengenai wang kutipan tersebut,” kata Aman Palestin ketika itu.

Aman Palestin ditubuhkan pada 2004 untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan dan mengumpulkan dana untuk rakyat Palestin yang terjejas akibat pendudukan Israel.

Ia diasaskan oleh bekas presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Abdullah Zaik Abdul Rahman. Abdullah Zaik menjadi presiden Aman Palestin sehingga 2018.

Abdullah Zaik ketika dihubungi Malaysiakini sebentar tadi enggan mengulas berkaitan isu itu.

Lihat Komen
ADS