Hishammuddin Hussein balik kampung?
Kalau mengikut perancangan dan persetujuan yang telah dicapai, Datuk Hishammuddin Hussein akan melepaskan jawatan ketua Pemuda Umno dalam pemilihan akan datang, dan menyerahkan jawatan itu kepada naibnya, Khairy Jamaluddin.
Sebenarnya, ianya bukanlah sesuatu yang memeranjatkan kerana Hishammuddin juga tidak pernah bertanding untuk jawatan tersebut. Jawatan itu diserahkan kepadanya. Persoalan yang lebih penting ialah apakah langkah Hishammuddin selepas itu?
Malaysiakini dimaklumkan usaha sudah berjalan untuk membantu Hishammuddin bertanding dan memenangi jawatan naib presiden. Menurut kalangan Umno, itu adalah langkah sewajarnya, kerana selaku ketua Pemuda Umno, Hishammuddin juga merupakan naib presiden Umno.
Persoalannya ialah apakah Hishammuddin mempunyai sokongan dan kekuatan jentera kempen bagi memenangi salah satu daripada tiga jawatan yang bakal dipertandingkan.
Pada masa ini, penyandang jawatan naib presiden ialah Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang juga Ketua Menteri Melaka dan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yasin. Seorang lagi penyandang, Tan Isa Samad telah dibatalkan kemenangannya selepas didapati terbabit dalam politik wang.
Berikutan itu, usaha untuk memperkuatkan sokongan untuk Hishammuddin akan bermula dengan pilihanraya umum akan datang di mana beliau akan diletakkan bertanding kerusi negeri sebelum dilantik mengisi kekosongan jawatan menteri besar Johor kerana Datuk Abdul Ghani Othman tidak akan bertanding lagi.
Sebagai menteri besar, Hishammuddin juga akan dilantik menjadi pengerusi perhubungan Umno Johor yang mempunyai 26 bahagian Umno yang terbanyak di Malaysia. Kedudukan tersebut, memudahkan beliau mendapatkan sokongan timbal-balik dari Umno negeri-negeri lain.
Negeri tumpuan
Tumpuannya ialah di negeri-negeri yang dijangka bakal mendapatkan menteri besar baru dan pada masa yang sama mempunyai jumlah bahagian yang banyak seperti Perak (24), Selangor (22), Pahang (14), Kedah (15). Umno Sabah (25 bahagian) dan Kelantan (14 bahagian) juga dapat membantu.
Selain mendapatkan lonjakan sokongan daripada Pemuda Umno yang bakal diterajui oleh Khairy, Hishammuddin juga boleh mendapatkan sokongan daripada 'Kelab Menteri Besar'.
Walaupun kelab ini tidak wujud secara nyata, tetapi memang diketahuai umum bahawa ia menjadi 'tunggangan' para menteri besar untuk mendapat sokongan, sekurang-kurangnya bagi memenangi jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, di mana mereka terpaksa berdepan dengan cabaran dari para menteri Umno yang turut bertanding.
Setiap bahagian menghantar 13 perwakilan yang terdiri daripada enam penyandang jawatan (dikenali sebagai G6) dan tujuh yang dipilih dalam mesyuarat agung (G7).
'Kelab Menteri Besar' ini tidak mempunyai sokongan mutlak daripada para perwakilan tetapi pada kebiasaannya, perwakilan dari G6 merupakan penyokong setia menteri besar yang juga pengerusi perhubungan Umno negeri.
Selain sokongan daripada perwakilan G6, tentunya, dengan pertolongan Khairy, Hishammuddin juga akan mendapatkan sokongan daripada perwakilan G7.
Belajar dari Najib
Dalam keadaan ini, ia akan merupakan 'situasi menang-menang' bagi Hishammuddin dan Khairy. Bagi Hishammuddin, beliau bukan sahaja bakal dilantik menjadi menteri besar, selepas pilihanraya umum nanti, tetapi juga memenangi jawatan naib presiden.
Bagi Khairy pula, dengan menyandang jawatan ketua Pemuda Umno, beliau juga secara automatik menjadi naib presiden Umno. Dan pada masa yang sama, perpisahan Hishammuddin daripada pergerakan itu juga tidak menimbulkan sebarang masalah.
Mungkin Khairy telah mempelajar gerak langkah ini daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika beliau menjadi Naib Ketua Pemuda Umno di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim suatu masa dahulu.
Anwar memenangi jawatan ketua Pemuda Umno selepas menumbangkan penyandangnya Datuk Suhaimi Kamaruddin. Selepas itu, polisi Anwar untuk 'mengislamisasikan' pergerakan tersebut tidak disenangi ramai exco pemuda ketika itu.
Namun Najib tidak melatah, sebaliknya beliau dan para penyokongnya mendapat ilham untuk 'mengeluarkan' Anwar daripada pergerakan tersebut iaitu dengan berkempen untuk Anwar bertanding jawatan naib presiden.
Sudah pastinya Anwar mengetahui motif Najib ketika itu, tetapi pada masa yang, bekas Timbalan Perdana Menteri itu, dapat menerimanya kerana secara tidak langsung ia membantunya menaiki hirarki kepimpinan parti.
Hasilnya, Anwar menang dan Najib jadi ketua Pemuda Umno dan juga naib presiden Umno serupa dengan apa yang bakal dilihat dalam senario yang membabitkan Hishammuddin dan Khairy.
Esok: Ke mana halatuju politik Khairy?