Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tawar RM5 juta bunuh PM: AMK gesa polis siasat pengguna Tik Tok

Pemuda PKR (AMK) hari ini menggesa pihak polis menangkap dan menyiasat seorang pengguna Tik Tok yang didakwa mengeluarkan ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Timbalan ketuanya, Kamil Munim berkata pengguna media sosial berkongsikan hantaran individu berkenaan yang menawarkan RM5 juta kepada sesiapa yang boleh "menembak mati" perdana menteri dan anggota kabinet.

“Ketua Cabang PKR Putrajaya telah membuat laporan polis tengah hari tadi.

“Harap polis segera menyiasat dan menangkap pengguna ini dan yang lain," katanya kepada wartawan di Kongres Nasional PKR 2023 yang diadakan di Putrajaya hari ini.

Menurut Kamil, pihaknya percaya hantaran itu dibuat beberapa hari lalu, tetapi telah dipadamkan.

Bagaimanapun katanya, mereka mempunyai bukti tangkap skrin hantaran berkenaan.

Berdasarkan tangkapan skrin yang tular di media sosial, hantaran itu dibuat seorang pengguna Tik Tok @jaiadani89 yang menggunakan gambar profil seorang lelaki memegang senjata tajam.

“Hari ini aku nak transfer RM5 juta kat sesiapa yang nak... Tapi kena buat kerja sikit la.

"Tembak mati PMX dengan menteri-menteri kabinet dan geng-geng DAP lahanat," kata individu tersebut.

Mengulas lanjut, Kamil berkata pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera terhadap ancaman yang membabitkan isu keselamatan.

"Bukan tak pernah ada kes seperti ini. (ia berlaku) berulang-ulang seolah ingin mencabar pihak berkuasa,” tegasnya.

Lihat Komen
ADS