Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Aman Palestin: Siasatan SPRM komplot terancang, pembunuhan karakter
Diterbitkan:  Nov 27, 2023 11:02 PM
Dikemaskini: Nov 28, 2023 3:44 AM

Aman Palestin menyifatkan tindakan SPRM dalam menyiasat pertubuhan itu, termasuk membekukan akaun, sebagai komplot terancang dan propaganda jahat.

Peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali mengecam kenyataan SPRM berhubung kes itu yang menurutnya menimbulkan pelbagai tohmahan dan fitnah serta menyuburkan persepsi negatif terhadap Aman Palestin.

Muhammad Rafique Rashid Ali

Katanya, ini meskipun, tiga kakitangan, CEO dan lima ahli lembaga pengarah Aman Palestin yang dipanggil ke pejabat SPRM di Putrajaya hadir memberikan kerjasama terhadap siasatan.

"Kenyataan media pihak SPRM bertarikh 23 Nov 2023 pada perenggan ketiga jelas berniat jahat dan sengaja diterbitkan untuk membina persepsi negatif terhadap Aman Palestin.

"Ianya seolah-olah telah menghukum Aman Palestin bersalah menyeleweng dana RM70 juta (yang dinafikan). Kenyataan-kenyataan SPRM berkait dengan kes ini ternyata tidak cermat, tidak teliti, tidak boleh dipercayai, dan tidak berintegriti.

"SPRM adalah sebuah agensi penyiasatan. Sebagai penyiasat, SPRM mestilah bertindak adil dalam siasatan. SPRM tiada kuasa menghukum. Itu tugas dan bidang kuasa sistem kehakiman di mahkamah," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Aman Palestin di Bandar Baru Bangi, Selangor malam ini.

"Tindakan SPRM semenjak kenyataan media bertarikh 23 Nov 2023 sehingga sekarang dengan pembocoran maklumat-maklumat siasatan (yang dinafikan dakwaan-dakwaan itu) merupakan satu komplot terancang dan propaganda jahat untuk membunuh karakter Aman Palestin dan ahli lembaga pengarahnya," tambahnya.

Turut hadir dalam sidang media adalah CEO Aman Palestin Awang Suffian Awang Piut dan pengerusi eksekutif Abdullah Zaik Abdul Rahman.

Muhammad Rafique merujuk kenyataan SPRM yang menyebut bahawa suruhanjaya itu membekukan sebanyak 41 akaun bank syarikat pertubuhan amal tersebut dan beberapa entiti syarikat lain dengan jumlah keseluruhan lebih RM15 juta.

SPRM dalam kenyataan itu turut berkata pembekuan itu dibuat sebagai sebahagian siasatan di bawah Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) dan Kanun Keseksaan (Akta 574).

Menurut Muhammad Rafique, aset-aset yang telah dibekukan SPRM berupa 12 bidang tanah, 4 bangunan, 4 buah kereta termasuk RM15,868,762.00 yang merupakan hasil sumbangan rakyat Malaysia.

"Kesemua aset ni semata-mata untuk pelaburan yang dibenarkan di bawah memorandum dan artikel Aman Palestin bertujuan semata-mata bagi mempertingkatkan kebolehan Aman Palestin memberi bantuan kemanusiaan dan bukanlah bagi tujuan peribadi ahli lembaga pengarah Aman Palestin.

"Kesemua aset ini diperoleh dengan hasil yang halal dan bukan daripada sumber yang haram," katanya.

Dia juga berkata Aman Palestin ada kuasa untuk menggunakan dana yang diterima untuk dilaburkan dalam pelbagai pelaburan yang mengikut syariah dan undang-undang, dan keuntungannya digunakan antara lain untuk membantu negara Islam yang bergolak seperti Palestin dan Syria serta kerja kemasyarakatan lain.

Beri masa tiga hari untuk nyah beku akaun

Mengulas lanjut, Muhammad Rafique mempersoalkan bahawa sehingga kini tiada satu pun rampasan atau paparan rampasan barang-barang kes dibuat, seperti mana kes-kes lain melibatkan penyelewengan wang atau hasil aktiviti haram.

Dia juga mempertikaikan tindakan SPRM yang menurutnya tidak menjelaskan sepenuhnya bahawa daripada 41 akaun yang dibekukan, hanya 11 akaun Aman Palestin yang digunakan bagi memudahkan penyumbang dan penderma, dan selebihnya merupakan akaun rakan strategik dan akaun ahli lembaga pengarah.

"SPRM perlu menjawab semua persoalan ini. Mengapakah akaun kutipan dana untuk bantuan kemanusian dibekukan? Mengapakah tindakan ini diambil hanya sehari selepas Aman Palestin mengumumkan penyaluran wang untuk Kempen Bantuan Musim Sejuk dan semasa gencatan senjata diisytiharkan?

"Bagaimanakah wang derma, sumbangan rakyat dan individu-individu dikategorikan sebagai hasil aktiviti haram?" katanya.

Justeru, katanya, Aman Palestin hari ini mengutus surat kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki serta Pengarah Bahagian AMLA SPRM Mohamad Zamri Zainul Abidin memberi notis agar pembekuan akaun dibatalkan menurut Seksyen 44A AMLATFAPUAA 2021.

Menurutnya, mereka memberi tempoh tiga hari untuk penyahbekuan akaun dan akan akan mengambil tindakan perundangan sekiranya SPRM gagal berbuat demikian.

Muhammad Rafique juga menggesa ahli-ahli parlimen daripada kerajaan mahupun pembangkang membangkitkan isu ini di Dewan Rakyat

"Kerajaan mesti menjelaskan mengapakah agensi penguatkuasaan di bawah Kerajaan mengambil tindakan membekukan akaun bagi aktiviti-aktiviti kemanusiaan.

"Hakikatnya rakyat Palestin sedang menunggu-nunggu bantuan kemanusian Aman Palestin," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS