Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jika Bersatu ‘ditekan’, golongan keras PAS akan naik - penganalisis
Diterbitkan:  Nov 28, 2023 2:15 PM
Dikemaskini: 6:15 AM

Bersatu yang lebih lemah tidak semestinya menguntungkan kerajaan.

Sebaliknya, kata pakar sains politik Wong Chin Huat, ia boleh melonjakkan pengaruh PAS dalam Perikatan Nasional (PN).

Bercakap dalam forum Malaysiakini semalam, Wong mengulangi gesaan Bersih supaya dana pembangunan kawasan diberikan tanpa syarat.

“Jika kamu biar pembangkang lapar, hanya hardliner (golongan taasub) akan kekal. 

“Ini kerana golongan hardliner ini didukung oleh ideologi dan kita akan mendapat pembangkang yang paling teruk.

“Jika kerajaan ini cuba mematahkan Bersatu dengan tahan  dana pembangunan kawasan, kamu tahu apa akan jadi? PAS akan jadi parti terkuat.

“Pada satu pilihan raya, PAS akan jadi parti tunjang untuk kerajaan majoriti,” ramal Wong.

Dia juga menggesa supaya diwujudkan akta pendanaan politik untuk menguruskan kaedah mengumpul, menerima dan menguruskan dana.

Termasuk anggota parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal hari ini, sudah lima wakil rakyat Bersatu menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim tetapi kekal sebagai anggota parti itu.

Wong berkata Anwar patut menukar naratif dan meyakinkan orang Melayu bahawa mereka tidak terancam oleh orang Cina dan India.

Ancaman sebenar, katanya, ialah kecanggihan teknologi seperti kecerdasan buatan hasil daripada Revolusi Industri 4.0 yang menjejaskan sektor pekerjaan.

“Apa yang Anwar cuba buat sekarang ialah melawan PAS yang menjuarai naratif Melayu terancam sejak sekian lama.

“Anwar perlu layan pembangkang dengan adil. Ini satu-satunya cara untuk dia menentukan naratif dan memimpin negara ke arah berbeza.

“Pilihannya Anwar harus mengubah naratif dan dia gagal apabila tidak cuba mengubahnya,” kata Wong.

“Sebaliknya dia cuma mengatasi lawan tetapi bagaimana dia akan jadi lebih asli daripada yang asli? PAS itulah yang asli dan Anwar tidak akan sesekali jadi asli. 

“Anwar telah meluangkan banyak masa dengan bukan Melayu dan dia tidak boleh jual ‘jenama halal’, katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS