Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Runtuhan gudang: Tiga pekerja maut, dua parah, empat tertimbus
Diterbitkan:  Nov 29, 2023 12:21 AM
Dikemaskini: Nov 29, 2023 1:21 AM

Mohamad Usuf berkata dua mangsa yang cedera parah telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang  (HPP) untuk menerima rawatan.

Beliau berkata identiti mangsa yang maut masih belum dikenal pasti. 

“Kita menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira 9.45 malam dan dimaklumkan terdapat 18 pekerja di tapak pembinaan gudang logistik tersebut tetapi sembilan orang telah keluar solat dan sembilan dilaporkan terperangkap.

“Ketika kejadian kesemua mangsa dikatakan bekerja di bahagian bawah rasuk sepanjang lebih 12 meter dengan berat dianggarkan 14 tan sebelum ia terjatuh lalu melanggar rasuk lain dan menimpa pekerja terbabit.

“Dua mangsa maut di lokasi kejadian dan mayat berjaya dikeluarkan kira-kira 10 malam, manakala seorang yang parah meninggal dunia di HPP,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian.

Mohamad Usuf berkata kren digunakan bagi mengangkat struktur binaan untuk memudahkan akses mencari mangsa yang terperangkap.

Sementara itu, Timbalan Pengarah JBPM Pulau Pinang Zulfahmi Sutaji berkata kawasan kejadian dianggarkan berkeluasan satu gelanggang bola keranjang dan kren serta peralatan lain digunakan untuk mengangkat binaan yang runtuh.

Beliau berkata Unit Anjing Pengesan (K9) akan dipanggil sekiranya diperlukan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat.

Dalam pada itu, Konsul Kehormat Bangladesh Datuk Shaik Ismail Allaudin yang turut berada di lokasi berkata pihaknya masih menunggu untuk mendapatkan maklumat kesemua mangsa terlibat.

“Setakat ini saya belum boleh berikan apa-apa kenyataan kerana belum dapat maklumat rasmi.

“Saya sudah minta kontraktor terlibat untuk berikan semua butiran mangsa kerana walaupun kita tahu mereka warga Bangladesh tetapi kita masih perlukan dokumen untuk pengesahan sebelum mengambil tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat empat mangsa dikhuatiri masih tertimbus dalam insiden runtuhan itu diteruskan sejak malam tadi.

JBPM memaklumkan tugasan mengalihkan struktur yang runtuh oleh jentera berat sedang dijalankan.

"Kren digunakan untuk mengalihkan struktur beam berat yang menghalang laluan masuk ke runtuhan dan kerja-kerja pengalihan ini memerlukan sedikit masa," menurut JBPM dalam kenyataan pagi ini.

Kenyataan itu memberitahu anggota JBPM mengalami kesukaran dalam mengalihkan rasuk-rasuk yang terjatuh bagi mengeluarkan mangsa yang tertimbus.

"Kesukaran kita setakat ini ialah mengalihkan struktur yang terjatuh kerana ia melibatkan struktur konkrit yang berat dan besar. Kerja-kerja ini memerlukan jentera mesin untuk mengangkat dan membersihkan kawasan supaya pasukan penyelamat boleh akses kepada lokasi mangsa.

"Kita menggunakan kren dan khidmat anjing pengesan jika dikhuatiri ada mangsa yang tidak dilaporkan. Kita akan teruskan operasi sehingga semua mangsa dikeluarkan," menurut kenyataan itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS