Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Mampukah penyusunan semula parti berbilang kaum selamatkan M'sia?

Sejak sekian lama, wujud rasa kecewa terhadap sistem parti berasaskan kaum di Malaysia. 

Namun, apabila cadangan dikemukakan bagi mengubah sistem itu, ia ditolak mentah-mentah oleh pengkritik, terutamanya yang teoris dan dogmatik. 

Mereka mendakwa semua cadangan itu tak akan dapat dilakukan. 

Dalam kalangan parti politik utama negara, DAP dan PKR kedua-duanya diasaskan dengan prinsip berbilang kaum. 

Namun, kedua-duanya dilihat tidak berjaya, memandangkan persepsi awam melihat kepimpinan dan keanggotaan parti tersebut banyak mengikut dinamika dan acuan parti-parti perkauman tradisi. 

Rakyat kebanyakannya sudah putus asa terhadap idea parti berbilang kaum yang benar-benar tulen sehingga ke akar umbi – dari keanggotaannya, kepimpinannya dan agenda yang benar-benar mewakili kaum yang majmuk di negara ini. 

Justeru, mereka merasakan yang mereka harus hidup dengan menerima sahaja status quo politik, menyebabkan negara ini tersekat dengan ketoksikan gabungan dan politik identiti berasaskan kaum. 

Kegagalan untuk membentuk parti berbilang kaum yang tidak diragukan dan tulen bagi menggantikan parti berasaskan kaum dalam sistem gabungan, bukan sahaja menjadi kelemahan dalam dunia politik tanah air.  

Bahkan, ia memberi kesan terhadap segala hal – calon, manifesto parti, kempen, komposisi kabinet dan kerajaan. 

Semua ini turut didasarkan kepada perkauman. 

Ini menyebabkan ganjaran serta justifikasi harus diberikan kepada kawasan kaum masing-masing dalam penggubalan dasar. 

Politik dan parti berasaskan kaum yang menjadi sebahagian daripada warisan dan budaya politik Malaysia, menjadi perkara yang menyekat negara ini dari bergerak ke hadapan. 

Konsep kuasa ketiga dikatakan boleh menjadi solusi. 

Namun begitu, mencipta kuasa ketiga dengan parti politik baru atau lama yang mengekalkan cara lapuk tanpa apa-apa pembaharuan yang bererti, tidak akan mampu meraih sokongan orang ramai atau berjaya dalam pilihan raya. 

Demografi yang berubah

Demografi Malaysia yang sedang berubah menunjukkan bahawa gabungan berteraskan Melayu yang terbina dari parti-parti kaum dan agama, tidak lama lagi bakal menjadi kerajaan di peringkat Persekutuan dan di kebanyakan negeri. 

Hal ini akan memandu negara ke hala tuju etno agama yang lebih ketara. 

Trend etno nasionalisme muncul di kala dunia sudah mengguna pakai sudut pandangan neo global. Negara-negara timur tengah semakin menjauhi pendirian berteraskan agama, dan ini dapat dilihat pada beberapa Negara Teluk. 

Banyak negara telah sedar bahawa politik dan parti yang tidak menunjukkan pembaharuan boleh berakhir dengan pemberontakan rakyat. 

Tiada kejadian drastik seperti itu pernah terjadi di Malaysia setakat ini. 

Pun begitu, gejala putus asa di kalangan rakyat memberi kesan buruk kepada negara – orang-orang berbakat memilih untuk membawa diri keluar negara, pada kadar yang jauh lebih tinggi dari sebelum ini. 

Baik orang Melayu mahupun bukan Melayu, golongan berbakat ini pasti akan memilih untuk berhijrah sekiranya cara berpolitik dan sistem politik kekal tidak berubah.  

Kerajaan berteraskan kaum mungkin akan terlepas peluang ekonomi dalam membangunkan industri baru yang kukuh, menggalakkan pelancongan antarabangsa, menarik usahawan yang berbakat tinggi dan mempunyai modal, serta membantu mengutamakan daya inovatif yang tidak mengira bangsa dalam ekonomi dan masyarakat.

Kebarangkalian untuk sebarang pembaharuan dalam politik atau pilihan raya – seperti persempadanan semula pilihan raya atau perwakilan berkadar – nampaknya berkemungkinan besar tidak akan berlaku buat generasi ini mahupun buat generasi berikutnya. 

Bawah sistem sekarang, tiada minat atau kesanggupan yang ditunjukkan pemegang kuasa untuk melakukan usaha sedemikian.

Pilihan yang tinggal adalah mewujudkan dan menggalakkan politik kemajmukan yang tulen, berasaskan kepada parti berbilang kaum yang mengikut kerangka yang mampu menarik parti sedia ada atau parti baru yang berhasrat untuk bertanding dalam PRU16. 

Mewujudkan dua atau tiga parti politik berbilang kaum berbeza sebelum PRU16, terdiri daripada gabungan pemerintah dan gabungan pembangkang sedia ada merupakan satu cabaran yang sukar direalisasikan. 

Namun, ia bukanlah mustahil. 

Kami yakin bahawa evolusi dari sistem sekarang – iaitu gabungan yang terdiri dari parti-parti yang berpecah – kepada sistem parti berbilang kaum yang bersatu, akan menerima sokongan meluas dari rakyat. 

Jika bukan dalam PRU16, mungkin dalam PRU berikutnya. 

Cadangan kami juga mampu menyediakan asas baru yang lebih kukuh untuk merapatkan kawasan politik Semenanjung dan Malaysia Timur yang semakin jauh terpisah. 

Penggabungan parti berasaskan geografi dan kaum serta penyatuannya kepada parti berbilang kaum yang bersatu-padu, dijangka meraih sokongan nasional berbanding dari pengundi kawasan tertentu semata-mata. 

Ini bukan sahaja akan membantu meredakan sentimen pemisahan, bahkan juga mengukuhkan kesatuan dan solidariti kebangsaan. 

Ini adalah satu kemungkinan yang tidak akan dapat dicapai menerusi alternatif lain seperti pelaksanaan perwakilan berkadar mahupun penghapusan masalah salah pembahagian (malapportionment) pengundi. 

Parti politik berbilang kaum

Satu-satunya jalan keluar untuk Malaysia bebas daripada isu lapuk gabungan dan parti politik berasaskan kaum dan agama, adalah dengan mewujudkan parti berbilang kaum dalam erti kata yang sebenar-benarnya dan secara terbuka. 

Jika ini dapat dilakukan, ia bakal menjadi satu kemajuan besar dari situasi sekarang, yang mana satu atau dua kaum menjadi dominan; manakala kemajmukan kaum dilihat hanya sekadar ‘topeng’ dan simbol.

‘Khemah besar’ parti politik berbilang kaum ini mestilah berasaskan keanggotaan daripada kaum dan kawasan geografi yang pelbagai, bergabung dan bekerjasama demi kepentingan agenda pilihan raya nasional yang sama di mana kepentingan kaum dan agama tidak akan melangkaui kepentingan nasional yang lebih besar.

Penentang idea parti berbilang kaum

Selain golongan cerdik pandai yang akan menolak konsep ini, akan terdapat juga suara yang akan menentang apa-apa perubahan kepada konfigurasi parti dalam sistem gabungan sekarang.

Halangan dan cabaran pasti akan ada. 

Namun, semuanya boleh diatasi sekiranya ahli dan kepimpinan parti sedia ada bersedia untuk keluar daripada kotak pengasingan kaum masing-masing, dan saling bekerjasama untuk memulakan proses penyusunaturan semula parti mereka menjadi satu entiti berbilang kaum. 

Kepimpinan parti sedia ada yang berhasrat untuk bertanding dalam PRU16 harus sedar, mereka kini semakin dilihat sebagai generasi ahli politik yang enggan memberi ruang kepada kebangkitan generasi politik baru dan mahu terus berkuasa menerusi sistem sedia ada. 

Bakat muda yang terpinggir daripada lingkungan kuasa dan jawatan dalam sistem gabungan parti sedia ada, akan mampu membuat kemunculan dengan lebih cepat dan mudah menerusi sistem baru parti berbilang kaum yang dicadangkan. 

Dalam parti yang dibentuk semula ini, kemunculan mereka bakal disokong dengan keahlian dan agenda pilihan raya berbilang kaum, yang akan menjadi pengubah gelanggang politik yang diperlukan Malaysia ke arah masa depan yang lebih cerah dan mantap.


LIM TECK GHEE ialah bekas pegawai kanan di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Bank Dunia.

MURRAY HUNTER ialah pengkaji bebas dan bekas profesor di Universiti Putera Songkla dan Universiti Malaysia Perlis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS