PARLIMEN l Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat aduan jika ada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dilakukan ketika mengadakan sekatan jalan raya (SJR).
Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata PDRM mempunyai SOP ditetapkan dalam mengadakan SJR bagi menjamin keselamatan dan keselesaan semua pihak termasuk anggota polis.

Antara SOP yang ditetapkan termasuklah, SJR tidak boleh diadakan di kawasan selekoh jalan raya, kawasan gelap serta perlu mempunyai papan tanda SJR.
"Arahan dan aturan tetap ketua polis negara yang begitu terperinci yang telah dilatih kepada pegawai-pegawai.
"Kita juga ada arahan pengarah jabatan siasatan dan penguasaan trafik dalam konteks yang sama iaitu arahan-arahan pentadbiran yang juga menjadi panduan kepada anggota kita melakukan SJR di mana-mana tempat.
"Namun demikian saya nak sebut bahawa jika ada sebarang aduan atau perkara mungkin yang tidak puas hati atau dilanggar oleh mana-mana pegawai kita akan lakukan siasatan oleh Jabatan Integriti dan pematuhan standard.

"Kita tidak sewenang-wenangnya biarkan anggota kita melaksanakan tugas yang tidak patuh disiplin," katanya di Dewan Rakyat.
Shamsul berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Pang Hok Liong (PH-Labis).
Pang dalam soalan tambahnya bertanya mengenai siapa yang patut dipersalahkan jika pengguna jalan raya melanggar anggota polis melaksanakan SJR tanpa mematuhi SOP ditetapkan.
Mengulas lanjut, Shamsul berkata PDRM mempunyai SOP dan peraturan yang perlu dipatuhi anggota dalam menjalankan SJR.

Sebelum itu menjawab soalan asal mengenai SJR, Shamsul berkata garis panduan terperinci telah disediakan bagi pelaksanaan SJR.
Katanya SJR juga tidak boleh dilaksanakan oleh pihak polis di tempat sama sepanjang masa selain di ruang jalan yang luasa dan tidak membawa kepada kesesakan lalu lintas.
"Pelaksanaan SJR ini Yang Dipertua (Dewan Rakyat) memerlukan peralatan-peralatan seperti papan tanda berukuran tiga kaki, enam inci... dengan perkataan 'berhenti pemeriksaan polis' atau ikon polis," katanya lagi.
