Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ikram Health kecewa GEG digugurkan, dakwa tak pernah dibincangkan
Diterbitkan:  Nov 30, 2023 1:15 PM
Dikemaskini: 5:33 AM

Persatuan Kesihatan Ikram Malaysia (Ikram Health) menyatakan rasa kecewanya terhadap kerajaan.

Ini susulan tindakan kerajaan menggugurkan peruntukan berkaitan larangan tembakau dan vape berdasarkan umur daripada semakan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023, yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Ikram Health berkata pihaknya juga kesal kerana keputusan menggugurkan peruntukan, yang juga dikenali sebagai "generasi penamat" (GEG), tidak pernah dibincang bersama puluhan NGO Kesihatan di Malaysia.

“Tanpa GEG, generasi anak-anak muda akan terus direkrut oleh industri untuk menjadi penagih nikotin sama ada melalui rokok konvensional atau rokok elektronik.

 “Bahkan, misi negara untuk menurunkan prevalen perokok dan penghisap vape kepada kurang lima peratus menjelang tahun 2040 akan berkubur,” katanya dalam satu kenyataan.

Ikram Health bagaimanapun menyokong agar RUU itu segera diluluskan pada persidangan parlimen bagi menutup kelompongan undang-undang yang telah dibuat akibat pengeluaran cecair dan gel nikotin daripada Akta Racun lapan bulan lepas.

“Meskipun akta ini lemah, sekurang-kurangnya kita sudah ada undang-undang untuk mengawal kesemua produk merokok di Malaysia ini.

 "Apa-apa perkara yang tidak boleh dilakukan kesemuanya, maka janganlah pula ia ditinggalkan semuanya...",” tegasnya.

Tambah Ikram Health, pihaknya juga menyokong seruan ahli parlimen yang menggesa peruntukan GEG dikaji untuk segera dimasukkan semula dalam pindaan akta, pada persidangan parlimen yang akan datang.

 “Akhir sekali, Ikram Health menyeru kepada semua pihak agar sentiasa terus menjalankan advokasi dan promosi GEG dalam usaha mewujudkan generasi baru yang bebas daripada amalan merokok dan vaping,” katanya.

Selasa lalu, kerajaan menggugurkan peruntukan berkaitan larangan penjualan produk tembakau dan rokok serta larangan merokok bagi orang bawah umur daripada semakan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023, yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

 RUU itu, adalah percubaan ketiga kementerian untuk menggubal undang-undang mengenai kawalan terhadap merokok dan vape, dibentangkan oleh Menteri Kesihatan Zaliha Mustafa.

Zaliha sebelum ini berkata keputusan itu dibuat susulan pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC) bahawa ia bercanggah dengan perlembagaan.

Laman web isu-isu CodeBlue melaporkan Peguam Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berpendapat peruntukan GEG melanggar perlembagaan kerana ia bertentangan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kesaksamaan di sisi undang-undang.

Namun peguam New Sin Yew berkata Perkara 8 membenarkan diskriminasi jika terdapat "perbezaan yang boleh difahami" dan jika diskriminasi itu mengejar "objektif yang sah".

Sebelum ini, sumber dalaman Kementerian Kesihatan memberitahu Malaysiakini bahawa pelobi tembakau turut memberi tekanan kepada kerajaan untuk tidak meneruskan peruntukan itu.

Versi RUU sebelum ini memperkenalkan langkah-langkah yang bertujuan menghalang sesiapa yang lahir dari tahun 2007 dan seterusnya daripada membeli tembakau atau produk nikotin. Ia kemudian dikenali sebagai golongan generasi penamat (GEG).

Menurut RUU yang dilihat oleh media, versi baru itu melarang penjualan produk tembakau, bahan merokok atau gantian kepada produk tembakau atau menyediakan sebarang perkhidmatan untuk merokok kepada kanak-kanak di bawah umur.

Ikram Health merupakan sebuah NGO bawah Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) yang ahlinya terdiri daripada mereka yang terlibat dalam industri kesihatan. 

Ini termasuk Doktor Perubatan, Pergigian, Farmasi, Jururawat, Sokongan Perubatan dan Kesihatan, Pentadbir Hospital dan Klinik serta semua yang bekerja di bahagian industri kesihatan. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS