Ekonomi neoliberal adalah naratif dominan yang membimbing demokrasi dan ekonomi di negara Malaysia selama hampir 70 tahun. Dasar dan polisi kerajaan turut berkembang mengikut aliran sistem ekonomi berkenaan atas beberapa faktor seperti pengaruh kuasa Barat pascakemerdekaan dan pelaburan asing langsung yang tinggi dari negara Eropah.
Tujuan ekonomi ini diperkenalkan adalah bagi melindungi kebebasan ekonomi. Tetapi kegagalan neoliberal terserlah daripada krisis kewangan yang menjerumuskan ekonomi kepada tahap ketidaksamaan pendapatan yang melambung tinggi dan telah mendorong pergerakan populis yang mengancam bukan sahaja pasaran terbuka dan perdagangan bebas tetapi kebebasan yang sepatutnya dilindungi.
Kebangkitan populariti fahaman politik berhaluan kanan dan kiri di Malaysia seolah-olah mencerminkan keinginan rakyat untuk menuntut perubahan daripada dasar ekonomi yang ditetapkan oleh naratif lama kepada pengagihan kekayaan negara yang lebih saksama.
Sudah tiba masanya untuk merangka naratif baharu untuk membimbing ekonomi kita dengan cara yang menolak konsep neoliberalisme yang keterlaluan, menggalakkan kesejahteraan sejagat sebagai keperluan ekonomi dan memastikan fahaman ideologi keras tidak sekali-kali memenangi pertempuran idea. Walaupun naratif baharu mungkin tidak kelihatan begitu ketara perbezaannya, tetapi betapa pentingnya naratif tersebut diberi penekanan dan asasnya dalam memupuk perubahan sistem yang kita perlukan sekarang.
Jika ditanya mana-mana siswazah lepasan program perniagaan atau ekonomi berkenaan apakah tujuan penubuhan syarikat. Kemungkinan besar kita akan mendapat jawapan yang sama, iaitu untuk memaksimumkan kekayaan pemegang taruh. Pandangan ekonomi ini sangat tertanam dalam pemikiran sebahagian profesor dan ahli ekonomi sekolah perniagaan dan, akibatnya, membentuk pemikiran pengurus perniagaan atau syarikat yang mereka ajar dan lahirkan.
Namun, masalah bermula apabila terdapat beberapa jaringan atau kumpulan lain selain pelabur yang sumbangan mereka kepada perniagaan adalah seperti yang diperlukan dan bernilai. Memaksimumkan kekayaan pemegang taruh masih mendominasi pemikiran ekonomi, dan ia adalah hasil langsung daripada idea-idea neoliberal.
Perspektif bahawa syarikat wujud untuk memaksimumkan kekayaan pemegang saham paling kerap dikaitkan dengan ahli ekonomi yang kini telah meninggal dunia, Milton Friedman. Hujah-hujah Friedman, yang tertanam dalam hampir semua buku teks ekonomi, berasal daripada karya sekumpulan ahli ekonomi, ahli falsafah dan ahli sejarah yang agak kurang dikenali. Naratif ini kini mendominasi pemahaman global tentang perkara yang dilakukan oleh ekonomi dan perniagaan dan sebab ia wujud, apatah lagi berita setiap malam melalui liputan pasaran perniagaan secara berterusan.
Membentuk perubahan sistem yang besar untuk mengatasi masalah sedemikian menunjukkan bahawa perlunya penstrukturan semula ekonomi untuk merancang atau mengawal perubahan.
Apa yang diperlukan, seperti yang berlaku dengan penciptaan naratif teras neoliberalisme, ialah set atau model ekonomi baharu yang merangka naratif ekonomi dan masyarakat baharu perlu diwujudkan. Model ekonomi baharu yang diperkenalkan berteraskan Ekonomi Madani untuk memperkasa kesejahteraan rakyat harus didukung dengan ampuh oleh organisasi tempatan dan global, universiti dan seluruh unit ekonomi dan perniagaan berdasarkan tanggapan bahawa institusi dan perniagaan utama negara harus beroperasi demi kesejahteraan dan maruah untuk semua.
Naratif hari esok perlu dirangka dengan sangat berbeza daripada hari ini. Ia perlu mengiktiraf bahawa ekonomi adalah sebahagian daripada masyarakat dan alam semula jadi tetapi bukan satu-satunya perkara yang penting. Naratif baharu harus merangka tujuan perniagaan dengan sangat berbeza, dengan mengambil kira pihak berkepentingan yang berbeza dan persekitaran semula jadi. Ia juga boleh menyediakan asas yang lebih munasabah dan berkesan untuk menyelesaikan krisis utama zaman kita, seperti akses sejagat pendidikan dan kesihatan; perlindungan sosial dan perubahan iklim; serta keterangkuman dan kesaksamaan peluang perniagaan dan sosial.
Dengan menumpukan kepada penghasilan nilai kolektif, bukan sekadar kekayaan pemegang taruh, maruah dan kesejahteraan boleh dipertingkatkan. Sebagai contoh, dengan menekankan penciptaan dan kestabilan pekerjaan; dasar gaji yang progresif, adil dan bermakna; peralihan kekayaan kewangan, kecekapan dan pertumbuhan kepada perindustrian baharu yang berteknologi hijau. Langkah-langkah seperti Kertas Putih Dasar Gaji Progresif akan menggabungkan kesejahteraan dan maruah individu ke dalam ukuran ekonomi, berbanding hanya aktiviti atau petunjuk ekonomi yang hebat melalui unjuran keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Jika kita berharap untuk mengatasi arus populis dan proteksionisme yang melanda ekonomi dunia ketika ini, naratif baharu yang lebih berkesan amat diperlukan. Memperkasa ekonomi rakyat adalah wadah untuk mengangkat semula darjat dan martabat negara ini dengan menstruktur semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara.
MUHAMMAD EHSAN KAMIL MOHAMAD RADZI ialah eksekutif di sebuah syarikat swasta merangkap alumni UiTM.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
