Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

KOMENTAR | Sebutlah apa sahaja bagi memaknakan OKU - orang cacat, orang kelainan upaya, atau  orang kurang upaya  - tidak akan banyak yang bakal mengubah nasib.

Mereka memang kurang upaya sama ada dari segi mental, fizikal dan  pemahaman. Lebih malang, mereka yang mewakili kira-kira 10 peratus daripada warga dunia itu sejak dulu tidak berubah nasibnya.

Majoriti OKU adalah dalam kalangan miskin atau dalam takrifan ekonomi Malaysia disebut golongan B40. Mereka bukan sahaja miskin kewangan, malah miskin peluang untuk membina diri dan keyakinan hidup.

Tidak terkecuali mereka juga berdepan masalah prasarana yang menyukar pergerakan harian di kawasan awam.

Bukan rahsia umum lagi bahawa kemudahan asas untuk golongan OKU masih jauh daripada sempurna. Laluan untuk OKU berkerusi roda tidak banyak di bangunan awam.

Jika ada pun mungkin terlalu curam dan berbahaya.

Dua minggu lalu tular video seorang profesor terjatuh dari kerusi roda yang dicubanya di sebuah pusat pengajian tinggi awam kerana laluannya curam.

Laluan OKU penglihatan dan pendengaran juga masih minimum. Tidak banyak kawasan lampu isyarat yang memberi kemudahan buat mereka. Begitu juga kemudahan untuk OKU pemahaman.

Beberapa tahun lalu ada syarikat korporat yang menyediakan peratusan tertentu untuk pengambilan pekerja OKU. Kononnya atas tanggungjawab khidmat sosial.

Syarikat terbabit diberikan pelepasan cukai pendapatan hasil tanggung jawab moral berkenaan. Namun hanya gempa seketika. Beberapa isu seperti gaji, penempatan, kefahaman terhadap realiti OKU, peluang kenaikan pangkat dan eksploitasi ada dibangkitkan.

Banyak juga bangunan awam yang tidak mesra OKU. Jika ada pun tandas untuk OKU, lazimnya terkunci kerana dijadikan tempat simpan barangan. Banyak juga kawasan parkir kenderaan OKU yang disalahgunakan oleh individu tidak berhak dan mereka terlepas daripada sebarang tindakan.

Kes sebegitu kerap berlaku, berulang-ulang dan tanpa tindakan. Inilah Malaysia yang dikatakan negara contoh!

Lebih ramai dari angka rasmi

Sehingga kini Malaysia tidak menyediakan akta khusus yang mewajibkan penyediaan kemudahan buat OKU. Pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terbabit secara langsung mengendali dan menyediakan kemudahan asas di sesuatu kawasan kerap terlupa mengutamakan OKU.

Dulu, kini dan selamanya OKU akan berdepan masalah dari segi sosialisasi dan mobiliti.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan penduduk dunia kini menjangkau lapan bilion orang. Bayangkan berapa ratus juta yang ditakrifkan OKU di seluruh dunia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia PBB (WHO) mengisytiharkan 3 Dis setiap tahun sebagai Hari OKU Antarabangsa. Malaysia turut merayakan hari tersebut, namun apakah natijah yang boleh membentuk kehidupan lebih baik?

 Apakah sekadar dengan berslogan simpati dan azam untuk membantu OKU pada hari berkenaan, kemudian ia pun berlalu tanpa apa-apa pada hari berikutnya?

Sehingga tahun lalu 2.4 peratus atau 633,653 penduduk Malaysia berdaftar sebagai OKU di agensi bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Angka itu dianggap rendah kerana jumlah keseluruhan OKU di Malaysia sekarang dianggarkan sebanyak 10 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi yang melebihi 33 juta orang.

Gambar hiasan

Sejak bertahun-tahun keluarga dianggap sebagai punca ramai OKU yang tidak didaftarkan. Kerajaan khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga perlu telus mencermin diri menilai apa sumbangan mereka untuk mengupayakan kehidupan OKU agar boleh berdikari dan keluar daripada kelompok kemiskinan.

Bantuan bulanan dan latihan hanya pada tahap permulaan kehidupan seseorang OKU. Sedangkan mereka perlukan peluang untuk berdaya saing.

Ramai OKU yang bercita-cita mahu menceburi bidang perniagaan tetapi mereka berdepan dengan stigma keyakinan pemberi pinjaman.

Institusi kewangan tidak pernah menyasarkan kemudahan bantuan perniagaan atas faktor risiko.

Beri peluang sebaiknya

OKU yang berpendidikan pula sukar bersaing untuk mendapatkan pekerjaan setimpal. Keupayaan mereka diragui. Peluang meningkat diri menjadi beban sosial sejak turun-temurun.

Kerana ditakdirkan diri berbeza daripada orang lain, OKU secara keseluruhan dihukum sebagai kekurangan segala-galanya.  

Kepada siapa OKU boleh mengadu masalah mereka? Kerajaan yang sudah berkali-kali bertukar masih berslogan tentang pembangunan nasional tanpa upaya mendasari masalah OKU.

Sehingga kini beberapa OKU dilantik sebagai senator di Dewan Negara namun suara mereka hilang di sebalik sorak-sorai politik.

Kita berharap Isaiah Jacob yang juga OKU mampu menyuarakan isu hak dan keperluan golongan senasib di Dewan Negara. Usaha itu pernah dilakukan oleh Ras Adiba Radzi, K Bathmavathi  dan Ismail Md Salleh sebelum ini.

Hari OKU Sedunia sepatutnya bebas daripada simpati dan ucapan membeli jiwa. Berikan peluang OKU membangun masa depan mereka dengan jiwa sendiri.

Peluang pekerjaan dan kemudahan asas perlu diutamakan. Paling penting masyarakat ikhlas menerima OKU sebagai sebahagian anggota sosial yang bertamadun.


IMLAN ADABI adalah mantan wartawan eksekutif Berita Harian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS