Anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memilih cara tersendiri untuk menanggapi dakwaan salah seorang pemimpin Bersatu yang mendakwa akan ada peralihan sokongan dari kerajaan kepada pembangkang tidak lama lagi.
Menurut Mohd Puad Zarkashi, dia berasa terkejut dengan dakwaan Redzuan Md Yusof kononnya seramai 10 ahli parlimen di blok kerajaan akan 'menyeberang' menyokong PN.
Langkah itu - jika menjadi kenyataan - dianggap bakal menyaksikan jatuhnya keranaa Malaysia sekali lagi.
Dalam keadaan 'terkejut' itulah Mohd Puad berkata, dia percaya ia boleh berlaku hanya jika kereta terbang - yang diilhamkan Mohd Redzuan suatu ketika dulu - menjadi kenyataan.
"Itu (dakwaan Mohd Redzuan) memang kejutan, tetapi itu hanya akan berlaku jika kereta terbang yang dirancang oleh Redzuan semasa menjadi menteri dulu boleh terbang,” katanya semalam.
Politik negara terkini menyaksikan peralihan sokongan lima ahli parlimen Bersatu-PN kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ia dimulakan oleh Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan yang terbaru membabitkan Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang).
Ia berlaku ketika PN berulang kali mendakwa mereka dalam perancangan mengambil alih kerajaan seperti yang pernah berlaku membabitkan Bersatu dan segelintir ahli parlimen PKR pada 2020.
Perkembangan itu berlangsung ketika akta antilompat parti sudah berkuat kuasa dan mencadangkan ada kelompangan yang wujud sehingga boleh dimanipulasi.
Untuk rekod projek kereta terbang dicadangkan Redzuan pada Feb 2019 ketika dia berkhidmat sebagai menteri pembangunan usahawan dalam kerajaan PH.
Katanya prototaip kereta itu sudah ada dan dijangka diperkenalkan kepada orang ramai pada 2019 juga dan didakwanya selamat serta mampu terbang pada altitud rendah.
Mohd Puad bagaimanapun memberi gambaran dia sangat skeptikal terhadap dakwaan Redzuan mengenai peralihan sokongan kepada PN itu.
"Selagi kereta terbang mustahil terbang, maka 10 orang batch pertama itu juga mustahil 'terbang' ke PN," katanya.
