Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
YBR, UPSI disaran biaya pelajar dalami bahasa Kadazandusun
Diterbitkan:  Dec 4, 2023 10:37 AM
Dikemaskini: 2:37 AM

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick mahu Yayasan Bank Rakyat (YBR) menjalin kerjasama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi membiayai pelajar mengambil jurusan bahasa Kadazandusun sebagai bidang pengajian di universiti itu.

Ewon berkata yayasan itu yang merupakan agensi di bawah kementeriannya antara lain turut berperanan membantu pembangunan pendidikan termasuk dalam aspek menyediakan pembiayaan boleh ubah kepada pelajar memerlukan dan program-program terkait pendidikan.

Sehubungan itu, Ewon melihat pengajian jurusan bahasa Kadazandusun ditawarkan di UPSI sebagai satu potensi yang boleh dilaksanakan bagi tujuan pembiayaan pendidikan menerusi yayasan tersebut sebagai inisiatif menarik agar lebih ramai generasi muda terutama dari Sabah mempelajari bahasa berkenaan.

“Saya mencadangkan satu memorandum persefahaman antara YBR dan UPSI sebagai galakan kepada mahasiswa dan mahasiswi di UPSI atau (pelajar) yang berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat universiti dengan mengambil jurusan dalam bahasa Kadazandusun.

“Saya akan mengadakan kunjungan (di UPSI) pada Januari (tahun depan).

"Saya difahamkan perbincangan antara YBR dan UPSI telah diadakan sebelum ini dan MOU itu sedang dimuktamadkan. Saya ingin melihat ia ditandatangani,” katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu, malam tadi.

Ewon ditemui selepas merasmikan Majlis Anugerah Guru Bahasa Kadazandusun serta pengiktirafan Pejuang Bahasa Kadazan dan Dusun anjuran Yayasan Bahasa Kadazandusun dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Sabah dan Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan.

Dia berkata kerjasama itu juga bertujuan memastikan tidak berlaku kekurangan tenaga pengajar atau guru yang mengajar bahasa Kadazandusun di sekolah menengah atau rendah di Sabah.

“YBR menandatangani banyak MOU dengan universiti lain dan ini (cadangan MOU dengan UPSI) adalah satu nilai tambah kepada MOU lain,” jelasnya, sambil memaklumkan UPSI adalah satu-satunya universiti menawarkan bidang pengajian itu di peringkat ijazah ketika ini.

Terdahulu, Ewon ketika berucap turut mencadangkan supaya pengurusan adat menjadi sebahagian modul pendidikan bahasa Kadazandusun bagi menggalakkan masyarakat khususnya generasi muda suku kaum itu mengetahui warisan adat resam mereka.

Mengenai majlis, Ewon berharap ia dianjurkan setiap tahun bagi menghargai jasa guru dan pejuang bahasa Kadazandusun dalam memartabatkan bahasa ibunda tersebut.

Pada majlis itu, Bernard Dompok menerima anugerah Tokoh Pejuang Bahasa 2023 atas dedikasi serta pengalamannya dalam kerajaan telah merealisasikan pengajaran dan pembelajaran bahasa Kadazandusun di sekolah rendah pada 1994 dan sekolah menengah pada 2006.

Anugerah itu juga diberikan atas jasa dan sumbangan bekas Ketua Menteri Sabah terbabit yang menjadi antara pelopor serta merupakan tunggak utama penubuhan Yayasan Bahasa Kadazandusun pada 1994, selain giat dalam usaha memperbanyak karya kesusasteraan bahasa ibunda berkenaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS