Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM mahu tarik balik permohonan dapatkan dokumen penyelesaian 1MDB

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menarik balik permohonan bagi mendapatkan dokumen daripada dua peguam yang disyaki menerima rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan proses penyelesaian di antara kerajaan Malaysia dengan Ambank serta Goldman Sachs berkenaan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

SPRM melalui dua surat bertarikh 29 Nov yang dihantar kepada mahkamah - serta diperoleh media - menyatakan mereka berhasrat untuk tidak meneruskan permohonan berkenaan dan meminta satu tarikh baru pengurusan kes ditetapkan.

Menerusi semakan sistem mahkamah, kes itu ditetapkan untuk sebutan pada Rabu ini.

Pada 11 Okt lepas, SPRM memfailkan dua permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan menamakan Chetan Jethwani dan firma guamannya, Chetan Jethwani & Co, serta peguam Rosli Dahlan dan Rosli Dahlan Saravana Partnership sebagai responden.

Chetan merupakan peguam kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dalam kes sivil manakala Rosli mewakili bekas perdana menteri itu dalam kes berkaitan projek Jana Wibawa.

Dalam permohonan itu, SPRM memohon responden masing-masing mengemukakan 10 dokumen. Antaranya surat pelantikan sebagai peguam Goldman Sachs (Chetan) dan 1MDB (Rosli), penyata akaun serta akaun dua firma guaman berkenaan.

Dokumen itu diperlukan untuk mengenal pasti pelantikan dua responden sebagai peguam Goldman Sachs dan 1MDB dalam urusan penyelesaian dengan pihak kerajaan Malaysia berkaitan 1MDB.

Berdasarkan afidavit kedua-dua permohonan itu, pegawai penyiasat SPRM Mohamad Sabri Mohd Latif berkata siasatan sedang dijalankan terhadap dua responden itu mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Rosli pada 3 Nov lalu memohon untuk membatalkan permohonan SPRM atas alasan agensi berkenaan tidak mempunyai kedudukan undang-undang (locus standi) untuk mendapatkan dokumen tersebut.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS