Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak timbul isu siapa ketuai PN walaupun PAS 'lebih besar'

PAS mengakui parti itu 'lebih besar' berbanding Bersatu namun berpendapat tidak perlu ditimbulkan isu siapa yang sepatutnya mengetuai PN.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata prinsip kerjasama parti dalam gabungan PN ialah mencapai kesepakatan sebelum membuat sebarang keputusan.

Pandangan itu dibuat Tuan Ibrahim beberapa hari selepas Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, menyatakan bahawa parti itu sudah bersedia memikul tugas lebih besar ekoran keputusan pilihan raya kecil di Kemaman.

"Kita dalam PN, apa-apa yang kita (nak) putuskan, kita putuskan bersama.

"Walaupun dominasi pilihan raya (sejak) dulu pun PAS lebih besar daripada Bersatu, tapi kita berpakat.

"(Yang penting) siapa terajui kita setuju, Tan Sri Muhyiddin (Yassin) mempengerusikan (PN) dan yang ini disetujui oleh Presiden PAS (Abdul Hadi Awang)," katanya ketika ditemui Malaysiakini di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.

Dia yang juga Adun Cheka ditemui ketika waktu rehat sidang DUN Pahang yang bermula semalam dan berlanjutan sehingga Jumaat ini.

Muhyiddin Yassin

PAS - yang ditubuhkan pada 1951 - adalah salah satu parti komponen PN selain Bersatu, Gerakan dan Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP). Bersatu pula merupakan parti yang muncul pada Sept 2016 hasil krisis dalaman Umno.

Ia diketuai bekas timbalan presiden Umno, Muhyiddin Yassin.

Ketika ini PAS menguasai 43 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat berbanding 31 daripada Bersatu. Bagaimanapun baru-baru ini lima daripada ahli parlimen Bersatu sudah menyatakan sokongan terbuka kepada kerajaan.

PAS juga mendominasi empat kerajaan negeri selain memiliki wakil di semua dewan undangan di Semenanjung Malaysia.

Tak ada angin, tapi ‘tumbang’

Kata Tuan Ibrahim, siapa yang menjadi ketua bukanlah isu yang perlu diperbesar-besarkan malah ia terbukti apabila PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan selama 33 bulan.

Ketika itu, katanya, PAS patut mendapat jawatan salah seorang menteri kanan.

"Tak ada isu siapa lead (mengetuai PN), bahkan sewaktu kami ada 18 undi (kerusi) parlimen, sepatutnya PAS dapat menteri kanan.

"Bagi kami tak apa (tak dapat jawatan menteri kanan), sebab yang penting kestabilan (dalam kerajaan)," katanya.

Ditanya mengenai kenyataan dibuat beberapa pimpinan PN yang mengambarkan seolah-olah rakyat sedia menukar kerajaan tanpa melalui proses pilihan raya, Tuan Ibrahim memberitahu, perkara itu memang tidak mustahil untuk berlaku.

Katanya, hal itu kerana ketika PH menjadi kerajaan selama 22 bulan mulai 2018 pun, ia boleh tumbang secara tiba-tiba.

"Saya melihat benda ini tidak mustahil berlaku... dulu 22 bulan tak ada ribut angin pun, tiba-tiba berlaku.

"Ini bermakna tidak mustahil berlaku apabila rakyat tengok kerajaan yang ada sekarang gagal, isu tak selesai, cakap semua OK, hebat cakap tapi pelaksanaan tak ada.

"Nilai duit kita makin jatuh, kos sara hidup meningkat tak boleh selesai," katanya.

Tuan Ibrahim yang pernah berkhidmat sebagai anggota kabinet Malaysia berkata mendakwa proses pertukaran kerajaan bergantung kepada pandangan rakyat melihat kestabilan kerajaan.

Pernah hilang Terengganu

Sebelum ini, dakwanya, kerajaan PH jatuh selepas kata-kata Dr Mahathir - yang menjadi perdana menteri ketika itu - tidak lagi didengar oleh pihak kerajaan.

"(Apabila) pandangan dia orang tak ikut, dia resign dan kabinet tumbang," katanya.

Mengulas kenyataan Takiyuddin hari ini yang menganggap PAS mencatat kejayaan terbaik dalam sejarah di bawah pimpinan Abdul Hadi Awang, Tuan Ibrahim berkata ia hasil wujudnya "pasukan yang baik".

Ahli parlimen Kubang Kerian itu menjelaskan kepemimpinan PAS ada dua bahagian iaitu presiden dan mursyidul am, tetapi kadang-kadang disalah faham oleh orang ramai.

Abdul Hadi Awang

Mursyidul am parti itu, katanya, tidak pernah menjadi presiden parti dan pada masa sama presiden juga setakat ini tidak dilantik sebagai mursyidul am.

"Presiden ialah Ustaz (Abdul) Hadi, Datuk Asri Muda, Ustaz Fadzil Noor, sekarang Ustaz Hadi Presiden.

"Pencapaian terbaik zaman beliau (Abdul Hadi) kita akui.

"Walaupun kerajaan Terengganu juga pernah hilang pada zaman beliau, kita pernah tinggal satu kerusi di Kelantan, tapi saya ingat gabunganlah (secara keseluruhan).

"Pasukan yang ada bersama presiden ini satu team yang baik, yang boleh bagi 'input' bersama, bukan saja dalam kalangan pimpinan, tapi juga ahli," jelasnya.

Lihat Komen
ADS