Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MCA minta Zahid tak bermimpi di siang hari mengenai sokongan Melayu
Diterbitkan:  Dec 5, 2023 6:37 PM
Dikemaskini: 10:42 AM

Naib Presiden MCA, Tan Teik Cheng meminta Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi supaya menerima hakikat bahawa sokongan orang Melayu terhadap BN terus merosot.

Ini selepas presiden Umno itu mendakwa prestasi buruk BN pada PRK Kemaman baru-baru ini adalah disebabkan "pengundi putih" daripada gabungan itu tidak keluar mengundi.

'Pengundi putih' dalam konteks pilihan raya merujuk kepada penyokong tegar sesebuah parti.

"Zahid tidak seharusnya mimpi di siang hari atau berkhayal bahawa masih ada 10,000 'undi putih'. Sebaliknya, dia harus serius mengkaji mengapa Umno kehilangan sokongan," kata Tan dalam satu kenyataan hari ini.

Kemaman merupakan kubu kuat BN sebelum gabungan itu kehilangan kerusi itu pada 2018.

Pada pilihan raya kecil Ahad lalu, PN memperoleh 70.1 peratus undi di kerusi itu.

Tan berkata daripada semua pilihan raya yang dijalankan sejak November tahun lalu menunjukkan undi Melayu berpecah antara BN dan PN.

Bagaimanapun, dia berkata BN dan Umno boleh memanfaatkan peranan mereka dalam kerajaan untuk meraih sokongan.

“Mereka (menteri Umno) seharusnya melaksanakan dasar yang memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat dengan berkesan bagi meraih sokongan daripada semua kaum termasuk pengundi Melayu,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS