Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu larang lagu Tamil: Pegawai cuai sudah dipindah, kata KPM
Diterbitkan:  Dec 7, 2023 12:42 PM
Dikemaskini: 4:42 AM

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan dakwaan ia tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pegawai yang cuai kerana melarang lagu tradisi bahasa Tamil dinyanyikan semasa majlis perasmian Karnival Bahasa Tamil Peringkat Kebangsaan baru-baru ini.

Pegawai khas menteri KPM, Thiyagaraj Sankaranarayanan berkata pegawai yang bertanggungjawab dengan insiden tersebut telah dipindah ke bahagian lain.

"Dakwaan bahawa kementerian tidak mengambil tindakan ke atas pegawai lain yang mengarahkan perkara tersebut adalah satu tindakan yang melulu.

“Kita harus sedar bahawa sebarang kenyataan yang berkaitan isu tersebut akan menjejaskan proses siasatan lanjut oleh pihak kementerian.

"Isu larangan lagu Tamil Valthu dan Kadavul Valthu telah disiasat dan diambil tindakan sewajarnya oleh pihak KPM di mana pegawai yang bertanggungjawab telah dimobiliti ke bahagian lain.

"Kita tidak perlu menuduh dengan fakta yang tidak jelas. KPM tidak akan melindungi sesiapapun dan dengan jelas menteri pendidikan telah mengambil tindakan tegas," katanya dalam satu kenyataan media.

Dia berkata demikian ekoran beberapa netizen di media sosial mendakwa bahawa KPM telah melepaskan pegawai yang bertanggungjawab berhubung isu melarang lagu tradisi bahasa Tamil tanpa sebarang tindakan.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dalam ucapan penggulungan perbahasan Belanjawan 2024 di peringkat jawatankuasa berjanji akan mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Sambil menyatakan rasa kesal, Fadhlina juga berkata dia memberi jaminan perkara itu tidak akan berulang lagi pada masa depan.

Pada 24 Nov lalu, MIC menggesa KPM menjalankan siasatan berhubung tindakan menghalang lagu Kadavul Valthu dan Tamil Valthu dipersembahkan dalam karnival bahasa Tamil itu.

Timbalan presidennya M Saravanan juga meminta menteri pendidikan mengeluarkan arahan agar kedua-dua lagu itu dibenarkan untuk dinyanyikan di majlis-majlis Karnival Bahasa Tamil pada masa akan datang.

Dia berkata larangan itu telah "mencacatkan" karnival tersebut yang diadakan sebuah hotel di Kepala Batas, Pulau Pinang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS