Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kajian UUM: Rakyat Malaysia beri 'markah A' pada Inisiatif Ekonomi Madani
Diterbitkan:  Dec 8, 2023 7:32 PM
Dikemaskini: 11:42 AM

Kaji selidik yang dijalankan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan dua NGO mendapati majoriti rakyat Malaysia menyambut baik "30 Inisiatif Ekonomi Madani" yang dilaksanakan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.

Laporan kaji selidik itu menyatakan seramai 2,457 daripada 3,000 responden, atau bersamaan 82 peratus memberikan markah A kepada inisiatif tersebut.

"Dapatan kaji selidik ini sekali gus menidakkan kenyataan sesetengah pihak bahawa dasar-dasar ekonomi di bawah konsep Malaysia Madani tidak mempunyai hala tuju yang jelas serta bahawa ramai rakyat yang tidak berpuas hati dengan usaha Kerajaan Perpaduan membantu golongan yang memerlukan, memerangi rasuah dan menjana pertumbuhanekonomi," menurut laporan itu.

Laporan kaji selidik itu dikeluarkan Naib Canselor UUM, Mohd Fo'ad Sakdan dan beberapa yang lain termasuk Pensyarah Kanan UUM, Kamarul Zaman Yusoff, Zainudin Omar dan Mazli Mutazam.

Kamarul Zaman pernah menjadi pegawai khas kepada perdana menteri sebelum ini, Ismail Sabri Yaakob.

Kaji selidik itu dikatakan melibatkan 4,606 responden yang dipilih menggunakan teknik persampelan rawak berstrata daripada 21.5 juta pengundi.

Firma kaji selidik pasaran komersial biasanya menggunakan 1,400 responden dalam kaji selidik mereka.

Laporan itu tidak menyatakan jumlah bilangan yang dipilih daripada setiap strata - yang biasa dalam kaji selidik oleh firma penyelidikan pasaran - mahupun dua NGO yang terlibat dalam kaji selidik itu.

Kaedah pemarkahan dan bagaimana 3,000 mata dibahagikan tidak jelas. Margin kesilapan juga tidak dinyatakan.

Soalan berkaitan ayam dan telur

Responden ditemu bual secara tatap muka dan ditanya 30 soalan di mana mereka boleh memilih salah satu daripada jawapan berikut: "sangat sokong", "sokong", "tidak sokong", "sangat tidak sokong" dan "tidak pasti".

Soalan yang paling mendapat respons negatif (62 peratus tidak sokong) ialah apabila responden ditanya sama ada mereka bersetuju dengan keputusan kerajaan melepaskan subsidi ayam dan telur.

Tidak pasti sama ada responden diberitahu bahawa walaupun subsidi dan kawalan harga ayam telah ditamatkan, namun subsidi telur ayam di seluruh negara masih dikekalkan.

Anehnya, 53 peratus responden tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan menghapuskan subsidi 10 peratus penggunaan elektrik tertinggi tetapi pada masa sama mengekalkan subsidi bagi 90 peratus pengguna.

Sementara itu responden menyambut baik inisiatif mendorong Padiberas Nasional Bhd (Bernas) menyumbang RM60 juta kepada pesawah miskin, apabila 50 peratus responden sangat menyokong dan 46 peratus lagi menyokong.

Bernas dimiliki Syed Mokhtar Albukhary melalui syarikat Perspective Lane (M) Sdn Bhd dengan kerajaan memiliki pegangan saham khas (golden share).

Pada 2020, kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin ketika itu melanjutkan konsesi Bernas untuk mengimport beras sehingga 15 Jan 2031.

Syarikat itu menikmati monopoli dalam import beras.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS