Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan minta X padam hantaran gelar menteri 'bloody moron'
Diterbitkan:  Dec 14, 2023 12:57 PM
Dikemaskini: 5:49 AM

Kerajaan didakwa telah melapor kepada platform media sosial X (dahulunya dikenali sebagai Twitter) untuk meminta hantaran yang mengecam seorang menteri diturunkan.

Menurut notis yang dihantar kepada pengguna media sosial, yang menggunakan nama @yindian5, ia adalah kiriman yang menggelar Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil sebagai "bloody moron".

Moron dalam bahasa Malaysia bermaksud tolol, dungu dan tongong.

Dalam notis X, platform media sosial itu berkata ia menerima permintaan daripada kerajaan Malaysia, mendakwa hantaran itu "melanggar undang-undang Malaysia".

Bagaimanapun, platform media sosial itu berkata ia tidak mengambil sebarang tindakan terhadap kandungan yang dilaporkan, yang disiarkan pada Selasa (12 Dis), selepas Fahmi diumumkan sebagai menteri komunikasi dalam rombakan kabinet.

Ketika dihubungi, pejabat menteri berkata laporan itu bukan daripada Kementerian Komunikasi, dan menteri itu tidak akan memberi maklum balas mengenai perkara itu.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, yang menguatkuasakan peraturan dalam bidang digital Malaysia, tidak menjawab soalan Malaysiakini.

SKMM ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Perhubungan.

Menurut X, adalah sebahagian daripada polisinya untuk memaklumkan penggunanya jika terdapat sebarang permintaan undang-undang berkaitan akaun mereka.

Dari Julai hingga Disember 2021, platform itu menerima 189 permintaan undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap 191 akaun dari Malaysia.

X tidak menerbitkan laporan permintaan undang-undang sejak itu.

Daripada 189 permintaan pengalihan keluar kandungan, platform media sosial telah menurunkan 27 peratus kandungan yang dilaporkan manakala 43 akaun telah digantung.

Ia berkata satu akaun telah dialih keluar selepas tuntutan undang-undang daripada SKMM.

SKMM mengeluarkan tuntutan itu selepas menerima aduan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, bahawa seorang pengguna telah menerbitkan "maklumat yang mengelirukan dengan sengaja untuk memperdaya pengguna Malaysia melalui transaksi kewangan".

Katanya, akaun yang dilaporkan telah digantung kerana melanggar dasar penipuan kewangan Twitter.

Lihat Komen
ADS