Lebih 50 penduduk Rumah Panjang, Kampung Bunga Raya, Subang, hari ini berkumpul di hadapan pejabat sekretariat Negeri Selangor Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam menggesa campur tangan Menteri Besar Amirudin Shari untuk mencari penyelesaian muktamad kepada isu penempatan semula yang membelenggu mereka selama 30 tahun.
Bercakap kepada Malaysiakini, wakil penduduk G Rishikumar, 38 berkata tujuan mereka berkumpul hari ini adalah mengharapkan bantuan menteri besar.
"Isu ini berlanjutan lebih 30 tahun. Sudah enam menteri besar dan tiga kerajaan negeri memerintah negeri ini dalam tempoh itu. Tapi, masalah kami masih tidak dapat diselesaikan.

"Kita nak penyelesaian untuk isu tanah ini, bukan peruntukan. Buat masa ini, kami mengharapkan campur tangan menteri besar kerana ahli Parlimen dan Adun kawasan ini gagal menangani masalah ini," katanya.
Terdahulu, mereka turut menyerahkan satu memorandum kepada Pegawai Khas Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Khairun Nizam dengan harapan dapat diadakan satu perjumpaan dengan menteri besar bagi mencari penyelesaian.
Rumah Panjang Kampung Bunga Raya merupakan penempatan sementara kepada lebih 90 keluarga yang dipindahkan pada 1993 susulan projek perumahan Dahlia di Seksyen U5.
Ketika itu, kerajaan negeri meminta penduduk berpindah ke rumah panjang sebagai penempatan sementara yang merupakan tanah milik kerajaan negeri sebelum berjanji memberi penempatan baru.
Namun, baru-baru ini, penduduk terkejut kawasan rumah panjang itu telah dijual kepada syarikat pemaju swasta. Syarikat kemudiannya mengarahkan penduduk supaya berpindah tanpa memberikan sbarang penyelesaian alternatif.
Terdahulu, dua wakil Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) Satees Muniandy dan David Marshel turut hadir bersama penduduk.
"Saya lihat tidak ada kehendak politik punca isu ini masih tidak diselesaikan. Sehingga kini tiada menteri besar pernah turun ke kawasan ini.
"Ahli parlimen dan Adun pun gagal selesaikan isu ini. Jadi, kami nak menteri besar segera cari satu penyelesaian. Sekiranya gagal, kami akan membawa isu ini ke Istana Selangor," katanya.
Malaysiakini sedang cuba menghubungi Ahli Parlimen Sungai Buloh R Ramanan, dan Adun Kota Damansara Muhammad Izuan Ahmad Kasim untuk mendapatkan ulasan mereka.
