Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mujahid arah peguam teruskan tindakan pelaksanaan ke atas Dusuki
Diterbitkan:  Dec 15, 2023 6:03 PM
Dikemaskini: 10:03 AM

Naib Presiden Amanah, Mujahid Yusof telah mengarahkan peguamnya untuk meneruskan tindakan pelaksanaan ke atas penceramah bebas Ahmad Dusuki Abd Rani kerana gagal melunaskan kos mahkamah berjumlah RM23,000.

Katanya, peguamnya juga telah menghantar surat tuntutan kepada bekas pemimpin Dewan Ulama PAS itu pada September dan Oktober lalu berhubung tuntutan tersebut.

Mujahid Yusof

“Ketiga-tiga mahkamah tersebut (Mahkamah Sesyen, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan) telah pun memerintahkan beliau selaku Plaintif/Perayu dalam kes tersebut untuk membayar kos-kos tindakan kepada saya.

“Walaupun sejak awal September dan Oktober lalu peguam saya telah dua kali menghantar surat tuntutan  kepada Ustaz Dusuki untuk beliau mematuhi arahan mahkamah dan membayar kos-kos yang telah diperintahkan tersebut, beliau masih lagi ingkar, enggan dan gagal berbuat demikian.

“Malah, dalam beberapa posting di Facebooknya, beliau masih lagi mempertikaikan keputusan Mahkamah yang menolak saman tersebut walaupun beliau sendiri yang menarik-balik rayuannya di Mahkamah Rayuan, Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Dusuki Abd Rani

Menurut bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu, peguamnya juga telah memfailkan saman penghutang penghakiman di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi menuntut jumlah kos yang masih belum dibayar.

Mujahid berkata, sebanyak empat percubaan untuk menyerahkan saman kepada Ahmad Dusuki tetapi pemimpin PAS itu didakwa enggan menerimanya walaupun temujanji telah dibuat.

Disebabkan itu, Mujahid menegaskan yang peguamnya akan terus menggunakan segala ruang undang-undang untuk menyerahkan saman bagi menuntut Ahmad Dasuki patuh kepada arahan mahkamah dan membayar kos-kos yang diperintahkan.

“Suka saya ingatkan bahawa itu adalah satu hutang yang telah diperintahkan oleh mahkamah untuk dibayar oleh beliau. 

“Saya telah mengeluarkan perbelanjaan dan kos yang banyak untuk membela diri saya terhadap tuntutan beliau yang akhirnya mahkamah telah memutuskan bahawa tuntutan tersebut sebagai tidak berasas dan tidak bermerit sama sekali. 

“Sebagai orang yang arif tentang hukum-hakam syarak khususnya yang berkaitan dengan hutang-piutang,  seharusnya beliau memberikan contoh yang baik kepada masyarakat dan tidak bersifat angkuh dan tidak peduli seperti ini,” tambahnya.

Pada 14 September tahun lalu, Mahkamah Sesyen Shah Alam menolak saman fitnah yang dikemukakan Ahmad Dusuki berhubung dakwaan isu penjualan aset Lembaga Tabung Haji (TH) kepada orang bukan Islam  dengan kos RM11,000.00. 

Dia yang tidak berpuas hati kemudiannya merayu ke Mahkamah Tinggi dan rayuannya turut ditolak tersebut dengan kos RM7,000.00.

Dia seterusnya membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan, tetapi kemudian menarik balik rayuannya dan diarahkan membayar RM5,000 sebagai kos kepada Mujahid. 

Bagaimanapun, sehari selepas itu pemimpin PAS berkenaan menyindir Mujahid, dengan membangkitkan kekalahan bekas menteri agama itu dalam pilihan raya umum ke-15 di parlimen Parit Buntar.

Untuk rekod, Ahmad Dusuki mengemukakan saman ke atas Mujahid berikutan ciapan berbunyi: “Seorang ustaz berdusta, berpuluh ribu jadi mangsa, berlagak tahu segalanya akhirnya telan api fitnah dalam perut dia sendiri, hingga kini tak pernah tarik balik pendustaannya. Allahu mustaan”.

Susulan itu, dia menuntut Mujahid membuat permohonan maaf melalui siaran akhbar serta ganti rugi yang tidak dinyatakan jumlahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS