Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lantik PM: Memang kuasa Agong, tapi tak mutlak - Muhyiddin
Diterbitkan:  Dec 15, 2023 6:33 PM
Dikemaskini: 12:47 PM

Perlembagaan Persekutuan memang tidak mensyaratkan hanya orang Melayu Islam boleh menjadi perdana menteri, kata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Jelasnya keputusan untuk memilih seseorang untuk dilantik sebagai perdana menteri ditentukan oleh 222 ahli Dewan Rakyat, bukannya rakyat.

Muhyiddin berkata, mana-mana ahli parlimen yang mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat akan terpilih menjadi perdana menteri, tidak kira sama ada individu terbabit Melayu ataupun sebaliknya.

"Menurut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong boleh melantik seorang ahli Dewan Rakyat sebagai perdana menteri yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat

"Perlembagaan tidak menyatakan ahli Dewan Rakyat itu mesti seorang Melayu," katanya.

Pun begitu bekas perdana menteri dan bekas timbalan presiden Umno itu juga mengingatkan sejak merdeka negara sudah mempunyai 10 perdana menteri yang dilantik mengikut peruntukan perlembagaan berkenaan.

"Kesemua mereka adalah dalam kalangan orang Melayu," katanya lagi dalam hantaran di Facebooknya, hari ini.

Semalam, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mencadangkan supaya Anwar Ibrahim menggerakkan usaha meminda perlembagaan supaya hanya orang Melayu-Islam boleh menjadi perdana menteri.

“Mungkin, dengan cara ini, sedikit sebanyak dapat memulihkan sokongan orang Melayu di negara ini kepada kerajaan campuran pimpinan beliau berbanding memperagakan capal, songkok, cium keris, atau bertiwikrama bahasa!” katanya.

Tertakluk kepada Dewan Rakyat

Polemik sama ada orang bukan Melayu boleh atau tidak menjadi perdana menteri timbul kembali susulan kenyataan ahli politik veteran DAP Lim Kit Siang kepada pelajar Malaysia di United Kingdom bulan lepas.

Mengambil contoh bagaimana pemimpin kulit hitam Barack Obama menjadi presiden AS selepas 230 tahun penubuhan negara itu, Lim berharap suatu hari nanti ia akan berlaku di Malaysia.

Pandangan itu bagaimanapun membuatkan dia dikritik hebat oleh pelbagai pihak termasuk pemimpin parti dalam kerajaan.

Bagaimanapun, anggota parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim yang juga seorang peguam tampil mempertahankan Lim dengan berkata perlembagaan memang tidak melarangnya.

Nik Abdul Aziz pula pernah menyatakan isu latar bangsa seseorang tidak perlu dipertikaikan untuk menjadi perdana menteri asalkan individu terbabit beragamai Islam.

Lim Kit Siang

Nik Abdul Aziz yang ketika itu menjadi mursyidul am parti berkenaan berkata, bangsa seseorang tidak wajar dipertikaikan.

"Nak bukan Melayu (jadi perdana menteri) tidak apa, asalkan beragama Islam (sebab) mana boleh pimpin Islam kalau tidak Islam?

"(Contohnya) negeri demokrasi, adakah (jawatan) diberi kepada komunis? Negeri komunis pula adakah dia akan beri kepada orang demokrasi? Tak ada... negeri komunis maka (pemimpin) komunis yang pegang, negeri demokrasi maka demokrasi pegang.

"Negeri Islam, maka orang Islamlah pegang, jadi bangsa apa pun tak peduli," katanya pada Mei 2012.


Semak fakta: Malaysia pernah ada pemangku PM bukan Melayu?


Mengulas lanjut Muhyiddin berkata walaupun Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara untuk melantik seseorang menjadi perdana menteri, ia tidak bersifat mutlak.

"Menurut Perlembagaan Persekutuan, sekiranya majoriti ahli Dewan Rakyat - termasuk Melayu dan bukan Melayu - menyatakan kepercayaan kepada seorang ahli bukan Melayu untuk dilantik sebagai perdana menteri, maka jadilah dia perdana menteri.

"Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara dalam pelantikan Perdana Menteri. Namun, kuasa budi bicara itu tidaklah mutlak.

“Ia tertakluk kepada ahli Dewan Rakyat itu yang mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS