mk-logo
Berita
Pengasas S'wak Report rayu derma bayar ganti rugi kes fitnah sultanah
Diterbitkan:  Dec 15, 2023 8:54 PM
Dikemaskini: 12:54 PM

Pengasas Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown telah melancarkan kempen kutipan dana awam untuk mengumpul £75,000 (RM446,964) untuk membayar ganti rugi dan yuran guaman.

Pada masa penulisan, kempen di gofundme.com telah meraih 14.4 peratus daripada jumlah yang disasarkan.

Rewcastle-Brown, penerbit buku Chong Ton Sin dan syarikat percetakan Vinlin Press Sdn Bhd diperintahkan membayar ganti rugi RM300,000 dan kos guaman RM120,000 kepada Sultanah Terengganu Nur Zahirah.

Saman Nur Zahirah berhubung dakwaan memfitnah buku Rewcastle-Brown 2018 bertajuk "The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Exposé".

Plaintif berhujah Rewcastle-Brown membayangkan sultanah tersebut memainkan peranan dalam membantu Jho Lows mendapatkan jawatan dalam Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), yang kemudian dijenamakan semula sebagai 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Pada Okt 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman itu atas alasan bahagian buku yang dipertikaikan itu tidak berunsur fitnah walaupun ia mengandungi kesilapan fakta.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Haziq Pillay memutuskan Rewcastle-Brown telah tersilap mengenal pasti Nur Zahirah sebagai adik iparnya Tengku Rahimah Puteri Sultan Mahmud. Mahkamah juga diberitahu bahawa edisi buku itu yang duterbutkan kemudian telah membuat pembetulan.

Tetapi pada 12 Dis, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan itu dan memutuskan memihak kepada tuntutan saman fitnah oleh Nur Zahirah. Para hakim memutuskan kenyataan yang disangkal itu telah menyebabkan sultanah dihina dan Rewcastle-Brown tidak cuba untuk mengesahkan kenyataannya.

Pada halaman gofundme.comnya, Rewcastle-Brown menulis bahawa walaupun defendan menetapkan untuk merayu di Mahkamah Persekutuan, mereka mesti membayar Nur Zahirah terlebih dahulu.

"Ini mungkin berjumlah seribu kali lebih rendah daripada RM100 juta yang menakjubkan yang telah dituntut oleh kerabat diraja kaya-raya untuk kes tersilap identiti yang tidak berbahaya, namun ia adalah jumlah yang merosakkan untuk tiga defendan yang disasarkan dalam kes ini.

"Melainkan kami, bersama-sama dengan penyokong hebat kami mengumpul jumlah yang diminta, kedua-dua perniagaan kecil yang berani dan rajin di KL ini akan berdepan kebankrapan," tulis Rewcastle-Brown.

Chong ialah pemilik Gerak Budaya, penerbit buku terkenal yang berpangkalan di Petaling Jaya yang mengkhususkan bidang politik, kemasyarakatan dan sejarah Malaysia.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS