Tuntutan gaji minimum, Cola: MTUC tetap berpiket

Selvarani Mogan        

Kongres Kesatuan sekerja Malaysia (MTUC) tetap akan mengadakan piket Isnin depan untuk menuntut gaji minimum RM900 dan bayaran elaun sara diri (Cola) RM300 sebulan kepada pekerja swasta.

Presidennya, Syed Shahir Syed Mohamud berkata, tiada perubahan dalam keputusan mereka untuk berpiket dan semua pekerja dari pelbagai sektor termasuk pekerja kilang akan menyertai piket ini.

"Seramai 50,000 pekerja dari seluruh negeri akan terlibat dalam piket ini," katanya ketika dihubungi malaysiakini .

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta MTUC, badan induk kesatuan bagi lapan juta pekerja sektor swasta di negara ini, supaya tidak mengadakan piket berhubung permohonan gaji minimum.

Syed Shahir berkata, piket akan diadakan di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Bangi, Shah Alam dan Klang serta negeri lain seperti Johor, Sarawak dan Pulau Pinang pada jam 5 petang.

MTUC, katanya, telah mengesa kerajaan untuk menimbang pemberian gaji minimum dan elaun Cola berikutan peningkatan kos sara hidup dan kenaikan harga barang keperluan.

Baru-baru ini, MTUC menyerahkan satu memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta kerajaan meminda Akta Pekerjaan 1955 bagi gaji minimum ditetapkan sebanyak RM900 dan tambahan RM300 sebagai bayaran Cola kepada pekerja sektor swasta.

Najib sebelum ini berharap MTUC tidak akan mengadakannya tetapi terus mengadakan perbincangan dengan kerajaan kerana kita mempunyai pertimbangan tertentu yang perlu difikirkan.

"Terdapat banyak akibat timbul dengan gaji minimum tetapi terdapat amalan yang dilakukan industri misalnya industri memutuskan tahap gaji yang boleh diterima tetapi kita masih belum menerima pakai dasar gaji minimum di negara ini," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Barang-Barang Perlu sebelum ini.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In