Terdapat keperluan untuk mengubah minda dan membebaskan diri daripada permusuhan kaum dan agama di negara ini yang bukan sahaja perlu dihindari tetapi dinoktahkan, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Menurutnya, tindakan itu demi memperkukuh hubungan rakyat Malaysia bagi membina sebuah negara maju.

“Tidak kira di mana rakyat Malaysia berada, permusuhan kaum dan agama perlu dihindari mahupun dinoktahkan bagi memperkukuh hubungan kita semua dalam membina sebuah negara maju,” katanya.
Anwar berkata demikian sewaktu bertemu diaspora Malaysia di Tokyo, Jepun dalam sesi santai minum petang semalam dan dimuat naik dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Anwar bagaimanapun tidak memperincikan permusuhan kaum dan agama yang dimaksudkannya.
Ketika, sebelum dan juga selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, suasana politik negara begitu hangat. Hantaran berkisar naratif kaum dan agama yang menyinggung perasaan serta diskriminasi dicetuskan ahli politik, dilaporkan terus menguasai platform media sosial utama di negara ini.
Ini adalah antara analisis dan dapatan utama kajian pemantauan media sosial pada PRU15 oleh Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dengan kerjasama Universiti Nottingham Malaysia, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Menurut kajian berkenaan, daripada 117,152 hantaran yang dimuat naik di media sosial, 66,933 menyentuh isu kaum, manakala 24,484 membabitkan isu agama dengan ahli politik dikesan sebagai pelaku utama yang menyumbang kepada naratif kaum.
Terbaru, negara sekali lagi berbelah bahagi dengan polemik perdana menteri bukan Melayu dan pilihan raya PBT.
