Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peserta piket pasang khemah berdekatan Kedutaan AS

Peserta piket ‘Kepung Demi Palestin’ mendirikan khemah kira-kira 200 meter dari kedutaan Amerika Syarikat (AS) walaupun pihak polis telah menasihati agar tidak berbuat demikian.

Bekas ahli parlimen Batu, Tian Chua, yang juga anggota Sekretariat Solidariti Palestin berkata mereka akan terus berkumpul sedekat mungkin dengan kedutaan AS.

“Kita tahu bahawa kerajaan Malaysia mempunyai pendirian bersimpati dalam solidariti dengan perjuangan Palestin.

“Jadi kami harap polis juga menghormati keputusan kerajaan Malaysia, konsisten dengan dasar dan membenarkan kami meneruskan piket kami,” katanya ketika ditemui pemberita berhampiran menara The Icon di Kuala Lumpur malam ini.

Pihak polis sebelum ini menasihatkan peserta piket supaya tidak mendirikan khemah atau struktur berhampiran kawasan kedutaan AS.

Ketika berita ini ditulis, peserta piket mendirikan lima khemah di tepi Jalan Tun Razak, di bawah jambatan bertentangan dengan menara The Icon.

Terdahulu, lebih 100 peserta mula berarak dari Menara TH Tun Razak ke kedutaan AS tetapi dihalang oleh polis kira-kira 200 meter dari kedutaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid berkata polis tidak menerima sebarang notis daripada penganjur Sekretariat Solidariti Palestin bahawa "kepungan" akan dilakukan di hadapan kedutaan AS.

Allaudeen berkata pihak polis bersimpati dan menyokong perjuangan rakyat Palestin, namun mereka bertanggungjawab untuk memastikan ketenteraman awam dan keselamatan perwakilan-perwakilan asing di negara ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung Muda Amir Hariri Abd Hadi, yang juga sebahagian daripada sekretariat itu, menegaskan mereka akan cuba sedaya upaya untuk kekal berada di lokasi tersebut selama enam hari ini.

“Kami sanggup ambil risiko, jika polis mengambil tindakan terhadap peserta.

“Kami berada di sini dengan aman dan akan kekal aman sepanjang program berlangsung. Jika polis memutuskan untuk mengambil tindakan terhadap peserta, itu terpulang kepada mereka

"Tetapi kami akan kecam mereka jika mereka berbuat demikian," kata Amir.

Peserta piket dijangka mengadakan acara solidariti setiap malam dan memasang bendera Palestin sebagai tanda solidariti.

Kemuncaknya, satu perhimpunan mega akan diadakan pada 31 Dis ini/

Sekretariat Solidariti Palestin berkata piket itu diadakan sebagai tindak balas terhadap usaha berterusan AS memveto resolusi Majlis Keselamatan PBB agar gencatan senjata segera dilakukan di Gaza.

Sekretariat itu disokong oleh 35 NGO, 15 kumpulan mahasiswa dan 13 parti politik.

Antara NGO yang mengambil bahagian ialah Majlis Perundingan Islam Malaysia, Viva Palestina Malaysia, Yayasan Al Quds Malaysia, Suara Rakyat Malaysia dan Malaysian Women’s Coalition for Al-Quds and Palestine.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS