Menjelang musim cuti sekolah penghujung tahun, Melaka antara destinasi tumpuan pelancong, baik dari dalam mahupun luar negeri.
Namun, rancangan 'zon bebas kenderaan' dilaksanakan kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) disifatkan telah mendatangkan kesan negatif kepada penduduk terutama peniaga dan pelancong.
Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong menggesa kerajaan negeri dan MBMB untuk menangguhkan rancangan tersebut dan membuat kajian serta rundingan semula selepas tamat perayaan Tahun Baru Cina, Februari depan.
"Sejak Jumaat lepas, bermula jam 6 petang, kawasan pusat bandar Melaka menjalani tempoh percubaan rancangan zon bebas kenderaan, dan banyak perubahan laluan telah menimbulkan kekeliruan dan ketidakpuasan hati di kalangan pengguna jalan raya, termasuk warga tempatan dan pelancong," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, walaupun masih dalam tempoh percubaan, namun penutupan beberapa laluan telah menimbulkan keresahan kepada peniaga tempatan, penduduk, dan pelancong yang mahu ke pusat bandar Melaka.

Katanya, walaupun bilangan kenderaan kian meningkat saban tahun, namun, tiada jalan baru yang dibina dalam tempoh 10 tahun ini di pusat Bandar Melaka dan ditambah dengan pelaksanaan zon bebas kenderaan ini, justeru, ia hanya memburukkan lagi situasi dan kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut.
"Jika berlaku kecemasan di bandar, berapa lama ambulans atau bomba akan mengambil masa untuk sampai ke tempat kejadian? Adakah rancangan zon bebas kenderaan ini memberi kesan kepada operasi penyelamat mereka?
"Walaupun konsep ini baik, tapi ia harus dilaksanakan di tempat yang betul dan pada masa yang betul, supaya memberi manfaat kepada negeri Melaka," ujarnya lagi.
Jelas Khoo, Bandar Melaka menerima kehadiran pelancong yang tinggi pada setiap hujung minggu, lebih-lebih lagi pada tiga minggu terakhir Disember adalah masa peniaga tempatan untuk meningkatkan jualan mereka.
Tetapi, tempoh percubaan yang dibuat secara tiba-tiba pada kemuncak musim cuti menyebabkan para peniaga tidak bersedia lantas perkara itu menyebabkan kerugian kepada perniagaan mereka.
Justeru, menurut Khoo, para peniaga telah memulakan petisyen untuk meminta Kerajaan Negeri membatalkan rancangan zon bebas kenderaan ini kerana ia memberi kesan yang serius terhadap mereka.

Pada 21 Dis lalu, MBMB telah mengeluarkan notis penutupan jalan selama 54 jam sempena Pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir Melaka dari Jumaat, 22 Dis, bermula jam 6 petang sehingga Ahad (24 Dis).
Penutupan melibatkan beberapa jalan seperti Jalan Istana, Jalan Mahkamah, Jalan Gereja - Lorong Gereja - Jalan Laksamana, sebahagian Jalan Tun Khalil Yaakob, Jalan Parameswara, Jalan Kota dan Jalan Istana.
Pelaksanaan penutupan laluan tersebut turut membabitkan persimpangan Jalan Laksamana dengan Jalan Banda Kaba, Lorong Chan Koon Cheng dan Jalan Chan Koon Cheng sehingga ke Hotel Equatorial.
Pada 23 Dis lalu, Khoo telah mengadakan satu sidang akhbar untuk menggesa kerajaan negeri mempertimbangkan semula penutupan jalan itu kerana dikatakan menjejaskan periuk nasi peniaga kecil.
Jelasnya, impak daripada penutupan jalan di sepanjang laluan yang dilencongkan memberi kesan kepada perniagaan di laluan tersebut akibat kejatuhan jumlah pengunjung.
“Saya difahamkan ada segelintir pihak yang mahu menyuarakan pandangan mereka tetapi dihalang oleh pihak berkuasa," kata Khoo seperti dilapor Utusan Malaysia.
