Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DAP: Ngeh khilaf soal punca kuasa jawatankuasa mahkamah syariah
Diterbitkan:  Dec 29, 2023 4:27 PM
Dikemaskini: 8:30 AM

DAP berkata cadangan ahli parlimen daripada parti itu, Ngeh Koo Ham agar pakar bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Mengkaji Bidang Kuasa Mahkamah Syariah adalah satu kekhilafan berkaitan punca kuasa jawatankuasa tersebut.

Setiausaha agungnya Anthony Loke juga berkata parti itu menghormati kebijaksanaan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku pengerusi Majlis Kebangsaan Hal-ehwal Agama Islam (MKI) dalam membuat keputusan, termasuk mengenai jawatankuasa itu.

"Perlu ditegaskan bahawa penubuhan jawatankuasa khas ini bukan ditentukan oleh jemaah menteri tetapi oleh MKI dan mereka melapor secara langsung kepada MKI.

“Sebarang cadangan oleh jawatankuasa tersebut yang melibatkan sebarang pindaan undang-undang perlu dibawa ke jemaah menteri untuk proses penggubalan rang undang-undang seperti biasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Loke berkata dia sedar cadangan Ngeh akan menimbulkan polemik yang DAP cuba mencampuri urusan agama Islam.

"Ini tidak benar sama sekali. DAP menghormati kebijaksanaan Tuanku Sultan Selangor dalam membuat sebarang keputusan mengenai urusan MKI," katanya.

Loke mengulas cadangan Ngeh semalam yang menurutnya agar pandangan orang bukan Islam diambil kira sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.

Jawatankuasa tersebut yang ditubuhkan pada awal bulan ini adalah untuk mengkaji kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) menggubal undang-Undang Islam.

Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki mengkritik cadangan itu yang menurutnya "tidak berpijak di bumi nyata" dan boleh mencetuskan polemik yang tidak perlu dalam sebuah negara dengan rakyat pelbagai kaum dan agama di Malaysia.

Mengulas lanjut Loke berkata masyarakat bukan Islam tidak perlu bimbang dengan sebarang pindaan undang-undang yang membabitkan mereka kerana ia akan dibawa ke jemaah menteri.

"Masyarakat bukan Islam juga tidak perlu bimbang dalam perkara ini kerana sekiranya sebarang pindaan undang-undang yang melibatkan hak bukan Islam, ia perlu diperhalusi dan diputuskan oleh jemaah menteri dan seterusnya proses seperti biasa perlu dilaksanakan di Parlimen.

"DAP komited terhadap prinsip hormat-menghormati antara satu sama lain dan keharmonian antara agama dan kaum merupakan tanggungjawab kita bersama," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS