Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan: Pentadbiran Najib bayar RM1.15j pada hotel Trump dari 2017-2020
Diterbitkan:  Jan 5, 2024 11:57 AM
Dikemaskini: 5:08 AM

Jawatankuasa Pengawasan Parlimen Amerika Syarikat (AS) mendakwa pentadbiran Najib Abdul Razak membayar AS$248,962 (RM1.15 juta ) kepada Trump International Hotel antara 2017 and 2020.

Menurut The Edge, laporan 156 muka surat oleh jawatankuasa itu disokong oleh dokumen yang dibekalkan oleh penyiasat parlimennya melalui syarikat Mazars USA.

Laporan itu juga berkata presiden AS ketika itu  Donald Trump menjadi tuan rumah untuk Najib yang mengadakan lawatan rasmi ke Rumah Putih pada September 2017.

Ia berlaku ketika Jabatan Keadilan AS cuba mendapatkan kembali aset bernilai AS$1 bilion yang dicuri daripada dana pelaburan Malaysia.

Laporan itu juga berkata Najib dan rombongan tinggal di  Trump International Hotel di Washington semasa lawatan rasmi itu.

Ia juga menyebut pegawai-pegawai itu turut kembali dan terus tinggal di hotel itu pada bulan sama.

Memperincikan kosnya, dilaporkan beberapa hari sebelum dan selepas mesyuarat di Rumah Putih, dari 7 ke 15 Sept 2017, Najib dan rombongannya tinggal di Trump International Hotel dengan bayaran secara bil langsung sebanyak AS$247,352.

Najib dikatakan tinggal di presidential suite yang bernilai AS$10,000. Kos keseluruhan dikenakan padanya saja bernilai AS$44,562 untuk tempoh tiga malam.

Berkaitan isu sama, USA Today berkata laporan parlimen AS berdasarkan siasatan hampir tujuh tahun.

Kata akhbar itu, dokumen diperoleh jawatankuasa pengawasan parlimen AS juga mendedahkan “jaringan mengejutkan bayaran jutaan dolar oleh pentadbiran asing dan ejennya langsung kepada perniagaan Trump ketika Trump menjadi presiden”.

Laporan itu turut menyebut bahawa China membuat bayaran paling banyak kepada perniagaan Trump dengan lebih AS$5.5 juta dibelanjakan di Trump Tower, New York serta dua hotel Trump di Washington dan Las Vegas.

Pada 13 September 2017, Rumah Putih berkata mereka tidak membuat tempahan untuk penginapan Najib di Trump International Hotel.

“Saya tidak dapat bercakap berkaitan keputusan peribadi mereka (Najib dan rombongan) untuk tinggal di mana semasa di (Washington) DC,” setiausaha akhbar Rumah Putih Sarah Huckabee Sanders dipetik sebagai berkata.

Pada hari yang sama Reuters melaporkan seorang pegawai kanan AS mengakui bahawa pertemuan Trump dan Najib memang “pelik” ketika kes 1MDB sedang disiasat.

Pada Oktober 2017, Najib semasa menjawab soalan di parlimen berkata tiada sebarang bayaran dikenakan untuk mengaturkan perjumpaannya dengan Trump.

Ketua pembangkang pada 2017 Wan Azizah Ismail pernah membangkitkan isu penginapan Najib ketika lawatan itu tetapi Najib berkata ia terlalu remeh untuk dilayan kerana bukan soal dasar.

Najib sedang merengkok di penjara setelah disabitkan bersalah dalam kes bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

[Baca berita asal]


Lihat Komen
ADS