Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PN tak dapat terima hakikat, terus beri harapan palsu - Mahfuz

Khabar angin yang ditiupkan pimpinan dan penyokong Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa bakal berlaku perubahan kerajaan persekutuan terus membuktikan gabungan itu tidak dapat menerimah hakikat, kata Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar.

Malah tegasnya, sikap PN itu umpan 'melukut di tepi gantang' dengan memberi harapan palsu kepada penyokong mereka sekali gus merugikan negara dan rakyat.

"Mereka tak boleh terima hakikat bahawa mereka sudah gagal bentuk kerajaan selepas PRU ke-15, tetapi mereka berikan harapan yang sangat tinggi kepada penyokong dan ahli-ahli parlimen mereka.

"Jadi bulan demi bulan mereka terus memberi harapan itu, sedangkan mereka sebenarnya memperkecilkan titah Duli Yang di-Pertuan Agong yang sudah buat keputusan muktamad tetapi mereka berlindung di sebalik kononnya dikatakan wujud gerakan dipanggil 'Langkah Dubai'.

"Mereka terus memberi harapan dengan merasakan bahawa mungkin akan berlaku di penghujung pemerintahan tuanku Yang diPertuan Agong ini mungkin (baginda) akan buat satu keputusan selepas diwar-warkan mereka mempunyai sokongan yang cukup, jadi itu yang berlaku, tak putus-putus beri harapan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Bekas ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata demikian ketika ditanya apakah naratif yang dilaksanakan PN susulan khabar angin mengenai akan berlakunya perubahan kerajaan mutakhir ini.

Semalam, pejabat ketua pembangkang Hamzah Zainudin menafikan kenyataan tular yang mendakwa Agong telah berkenan menerima menghadap 118 ahli parlimen yang menyokong PN bersama-sama dengan akuan berkanun (SD) mereka.

Terdahulu Malaysiakini turut melaporkan Pengarah Pilihan Raya PN, Muhammad Sanusi Md Nor, mengakui mereka sentiasa mencuba untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada dan menganggap langkah tersebut seperti menjaringkan gol dalam perlawanan bola sepak.

Menteri Besar Kedah itu berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim memang boleh ditumbangkan melalui "proses demokrasi" seperti yang dibenarkan dalam perlembagaan.

Merujuk kepada tindakan kerajaan menerima sokongan lima ahli parlimen PN baru-baru ini, Sanusi berkata, langkah tersebut digambarkan sebagai mengikut perlembagaan.

Justeru, katanya, tindakan PN menarik sokongan ahli parlimen dari BN dan PH juga boleh dianggap sama.

Rugikan rakyat

Sementara itu, mengulas lanjut, Mahfuz berkata sikap pimpinan PN yang terus-menerus mencetuskan perkara itu turut memberi harapan palsu kepada penyokong mereka dan menimbul persepsi buruk terhadap kerajaan.

"Sudah setahun mereka gagal dalam usaha untuk jatuhkan kerajaan, kini sudah masuk tahun baru. Takkan nak wujudkan lagi satu tahun yang menampakkan Malaysia dalam krisis.

"Kalau mereka teruskan lagi selepas gagal di tahun lalu, keadaan ini boleh menjejaskan keyakinan pelabur-pelabur luar yang akan beranggapan apabila kerajaan bertukar ia akan disusuli dengan perubahan polisi. Jadi saya nasihatkan supaya hentikanlah," jelasnya.

Tambahnya sikap pemimpin seperti Sanusi tidak memberi sebarang keuntungan lebih-lebih lagi sebagai menteri besar Kedah yang turut mengharapkan pelabur dari luar.

"Dia kena ingat sebagai menteri harus melihat kepada soal pelaburan ke Kedah, kalau duduk mencetuskan krisis berterusan dia akan rugi, bukan negara saja, bahkan negeri Kedah.

"Yang rugi rakyat Kedah juga," kata Mahfuz lagi.

Lihat Komen
ADS