Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Sejak bila tukar kerajaan jadi satu kesalahan?'

Perbuatan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin, membuat laporan polis berhubung 'Langkah Dubai' adalah tindakan tidak masuk akal, kata Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Timbalan presiden parti itu S Subramaniam berkata menukar kerajaan adalah tidak salah selagi ia dibenarkan di sisi perlembagaan persekutuan dan undang-undang.

"Saya nak tanya saudara Shamsul, sejak bila tukar kerajaan menjadi satu kesalahan? Apakah dia dah lupa bagaimana Perdana Menteri Anwar Ibrahim pernah mencuba beberapa kali untuk menjatuhkan kerajaan?

"Bermula dengan Projek 16 Sept pada 2008 hingga sidang media pada tahun 2020 apabila Anwar mendakwa dia mempunyai 'sokongan kukuh, kuat dan meyakinkan'.

"Anwar mempunyai sejarah cuba menumbangkan kerajaan," katanya kepada Malaysiakini.

Tambah Subramaniam jika Shamsul Iskandar berasa Langkah Dubai boleh mencetuskan keresahan rakyat serta memberi kesan kepada keyakinan pelabur, perasaan yang sama wajar diambil kira apabila Anwar cuba menukar kerajaan sebelum ini.

Semalam Shamsul Iskandar membuat laporan polis berkenaan dakwaan dibuat oleh Raja Petra Kamaruddin kononnya beberapa pemimpin PN berjumpa dengan wakil rakyat kerajaan untuk menjatuhkan kerajaan.

Kata Shamsul Iskandar, 'Langkah Dubai' jelas membuktikan wujud gerakan bersungguh-sungguh mahu menjatuhkan kerajaan meskipun mereka sedar ia tindakan sia-sia.

Tambah Shamsul Iskandar dia yakin cubaan 'Langkah Dubai' itu didalangi beberapa ahli parlimen yang tidak bertanggungjawab dan sebenarnya memudaratkan demokrasi.

Subramaniam berkata laporan polis oleh Shamsul Iskandar juga menunjukkan kerajaan sedang panik sehingga mendorong pegawai kanan perdana menteri membuat laporan polis.

"Saya minta Shamsul dan kerajaan hari ini jangan buang masa polis," katanya.

Untuk rekod, pada 2008 Anwar selaku ketua pembangkang mendakwa beliau akan menubuhkan kerajaan baru apabila ahli parlimen BN menyertai Pakatan.

Ketika itu Pakatan Rakyat yang dipimpinnya menguasai 82 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, dia berkata rancangan itu gagal selepas cadangan untuk mengadakan sidang khas Dewan Rakyat ditolak perdana menteri ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi.

Pada Sept 2020 pula, Anwar membuat sidang media berkata mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Cubaan untuk membentuk kerajaan itu berlaku kira-kira enam bulan selepas pentadbiran PH runtuh akibat rampasan kuasa politik yang digelar sebagai Langkah Sheraton.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS